Saturday 21 July 2012

ISU SEMASA:AKHBAR 2012

Polis bantuan hanya boleh tahan penjenayah

KUALA LUMPUR 20 Julai - Semua polis bantuan yang ditugaskan syarikat masing-masing untuk mengawal keselamatan di pusat beli-belah di seluruh negara hanya diberi kuasa untuk menahan penjenayah.
Pengarah Jabatan Pengurusan, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Mortadza Nazarene berkata, polis bantuan terbabit bagaimanapun dikehendaki menyerahkan setiap kes kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dengan segera untuk tindakan lanjut.
"Polis bantuan juga tidak diberi kuasa untuk melakukan sebarang soal siasat ke atas mana-mana penjenayah mahupun tindakan kekerasan ke atas mereka.
"Penempatan dan penugasan polis bantuan di pusat beli-belah hanya berperanan membantu PDRM memastikan usaha pencegahan dan menangani kes-kes jenayah di premis itu dapat dilaksanakan," katanya kepada pemberita di Pusat Latihan Polis (Pulapol) Jalan Semarak, di sini hari ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pada Isnin lalu mengumumkan, lebih 25,000 pengawal keselamatan di pusat beli-belah di seluruh negara akan berpeluang mengikuti latihan yang dikendalikan PDRM bagi meningkatkan tahap keselamatan di kawasan komersial tersebut.
Latihan tersebut, kata beliau, turut melibatkan pengawal keselamatan warga asing dan polis bantuan.
Mortadza memberitahu, polis bantuan hanya menjalankan tugas berlandaskan undang-undang yang ditetapkan ke atas mereka dan berfungsi sebagai 'mata dan telinga' pasukan polis.

No comments:

Post a Comment