Saturday 21 July 2012

ISU SEMASA:AKHBAR 2012

PDRM, Polri tangani jenayah secara bersama

KUALA LUMPUR 19 Julai - Polis Republik Indonesia (Polri) sedia menerima informasi daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menyelesaikan kes jenayah yang dilihat berpotensi menaikkan sentimen negatif rakyat negara itu.
Perkongsian maklumat itu selari dengan kewujudan pelbagai kes jenayah merentas sempadan yang kadang-kala terlalu disensasikan sehingga menimbulkan kebencian rakyat Indonesia kepada Malaysia.
Antara kes-kes jenayah yang diberi perhatian adalah kes berkaitan penderaan pekerja asing Indonesia, pemerdagangan manusia serta jenayah berat melibatkan kekerasan dan penggunaan senjata.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Datuk Seri Mohd. Bakri Mohd. Zinin (gambar) berkata, pertukaran maklumat itu penting memandangkan sesetengah informasi akan tersebar dengan cepat tetapi ia tidak dilaporkan secara tepat sehingga menimbulkan sentimen negatif di republik itu.
"Bagi mengelakkan sesetengah kes disensasikan oleh pihak yang tidak bertanggungjawab, Polri sedia untuk mendapat bantuan PDRM menerusi perkongsian maklumat.
"Malah, PDRM juga akan meletakkan contact person di setiap bahagian di JSJ yang akan berhubung terus dengan setiap bahagian jenayah Polri bagi memudahkan dan mempercepatkan segala urusan perkongsian maklumat," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Mesyuarat Dua Hala antara JSJ PDRM dengan Badan Reserserkriminal Polri yang berlangsung dua hari di sini hari ini.
Mesyuarat berkenaan yang dihadiri 13 delegasi yang diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Polri, Inspektor Jeneral Polis Drs. Usman Nasution diadakan untuk mengukuhkan kerjasama kedua-dua pihak dalam menangani kes-kes jenayah di kedua-dua negara.
Dalam perkembangan itu, Usman tidak menafikan wujud pihak tidak bertanggungjawab yang berniat mengundang rasa tidak puas hati dengan kerajaan Malaysia.
Katanya, Polri sentiasa mencari jalan untuk menyebarkan maklumat kes jenayah secara tepat agar ia dilapor tanpa mengundang sentimen negatif rakyat di republik itu.
"Kita tidak mahu sebarang isu disensasikan dan ditambah dengan perkara-perkara yang tidak wajar hingga menaikkan rasa tidak puas hati sesetengah pihak.
"Oleh itu Polri sedia mendapatkan informasi dari Malaysia dan disebarkan secara tepat di media," katanya yang berharap jalinan kerjasama kedua-dua organisasi penting itu harus wujud dan dikembangkan ke tahap lebih tinggi.
Katanya, kerjasama itu harus diteruskan pada masa hadapan memandangkan ramai warga Indonesia memasuki negara ini untuk mencari rezeki.
"Kita perlu saling menukar pengalaman dengan berkongsi kepakaran serta penyelidikan untuk menangani aktiviti jenayah di negara ini. Ia termasuk saling memberi maklumat kumpulan-kumpulan penjenayah yang menggugat keselamatan awam," katanya.



 

No comments:

Post a Comment