Friday 20 July 2012

RUJUKAN:JENAYAH PENCULIKAN

Peningkatan kadar jenayah di negara ini yang semakin bertambah memerlukan komitmen semua pihak bagi menanganinya. Ketenteraman kehidupan masyarakat tergugat akibat kejadian jenayah yang semakin mengancam ini. Jenayah penculikan kanak-kanak merupakan antara kes jenayah yang kian meningkat. Hilangnya perasaan kasih sayang dan belas kasihan menyebabkan perkara ini berlaku. Kecuaian ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dan sikap orang awam yang tidak mempedulikan perkara yang berlaku di sekeliling mereka menyebabkan jenayah ini semakin bertambah. Pelbagai pihak perlu mencari jalan penyelesaian agar jenayah yang meragut kebahagiaan dan keharmonian rakyat ini dibanteras dengan secepatnya.
Antara pihak yang seharusnya memainkan peranan dalam usaha membanteras jenayah ini ialah ibu bapa. Hal ini demikian kerana ibu bapalah insan yang terdekat dengan anak-anak. Institusi kekeluargaan perlu diteguhkan dengan ibu bapa mengambil sikap sentiasa berwaspada terhadap setiap pergerakan anak-anak mereka. Selain mendidik anak-anak dengan sahsiah yang terpuji, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang musibah yang akan berlaku akibat kecuaian diri sendiri. Anak-anak perlu didedahkan dengan keselamatan diri, bukan sahaja di jalan raya, bahkan sentiasa berwaspada dengan gejala penculikan. Ibu bapa juga bertanaggungjawab untuk sentiasa memerhatikan anak-anak dan bersama-sama mereka apabila berada di luar kawasan rumah. Kanak-kanak memang mudah terpengaruh oleh persekitaran di sekeliling mereka.
Saranan kerajaan kepada pihak sekolah agar memasang televisyen litar tertutup dapat memantau pergerakan kanak-kanak di sekolah dan di kawasan sekitar sekolah. Pihak sekolah,terutamanya guru-guru perlu sentiasa peka dan memerhatikan murid-murid di luar kawasan sekolah, terutamanya sewaktu mereka pulang dari sekolah agar masalah penculikan tidak berlaku. Pesanan dan nasihat daripada guru-guru perlu sering diperingatkan kepada murid-murid agar mereka tidak alpa akan keselamatan diri sendiri. Murid-murid hendaklah menunggu ketibaan ibu bapa di kawasan yang selamat seperti di dalam kawasan sekolah dan di kawasan yang mudah dilihat oleh orang ramai. Selain itu, murid-murid dinasihatkan agar bergerak di dalam kumpulan dan tidak mendekati orang yang tidak dikenali.
Di samping itu, pertubuhan rukun tetangga juga dapat menolong dalam usaha mengatasi jenayah penculikan kanak-kanak dengan membantu pihak polis memantau kawasan sekitar daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Rukun tetangga yang tidak aktif perlu dihidupkan semula. Kini ahli rukun tetangga mencecah kepada 80 000 orang di seluruh negara. Pelbagai inisiatif seperti cuti dan elaun rondaan diberikan kepada ahli rukun tetangga yang bertugas. Masyarakat harus berperanan menjaga keselamatan bukan sahaja kanak-kanak, malahan keselamatan keseluruhan ahli masyarakat dalam sesuatu kawasan yang dikawal oleh ahli rukun tetangga tersebut. Meskipun kebanyakan aktiviti rukun tetangga tidak memberikan apa-apa ganjaran dalam bentuk kewangan, namun kesannya amat besar dalam menjaga keselamatan penduduk setempat. Kerjasama semua anggota masyarakat dapat menjamin suasana kehidupan yang lebih harmonis.

Kejadian jenayah dalam apa-apa bentuk sekalipun perlu ditangani dengan segera. Bantuan orang ramai dengan memberikan maklumat kepada polis akan memudahkan penjenayah dikesan dan diambil tindakan yang sewajarnya. Undang-undang negara yang telah diperuntukkan sudah mencukupi untuk mengatasi masalah ini. Namun, undang-undang sahaja tidak dapat dilaksanakan sekiranya penjenayah tidak dapat ditangkap untuk diadili. Seharusnya, penjenayah yang melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa ini dihukum dengan sewajarnya.

No comments:

Post a Comment