Friday 20 July 2012

KERATAN AKHBAR:JENAYAH SIBER

Perkongsian Maklumat Kukuhkan Pertahanan Siber Malaysia

                         

Perkongsian Maklumat Kukuhkan Pertahanan Siber Malaysia
KUALA LUMPUR -- Dekad ini seluruh dunia berlumba-lumba memiliki senjata terhebat dan tentera terbaik dalam memastikan keselamatan negara terjamin.

Bagaimanapun dalam era perkembangan pesat teknologi siber dewasa ini, senjata terhebat dan tentera terbaik masih belum mampu memastikan sesebuah negara itu kebal daripada serangan penjenayah siber.

Mahu atau tidak mahu, kerjasama antara negara adalah perlu bagi mengekang perbuatan dangkal penjenayah siber dan satu daripada bentuk kerjasama paling penting ialah perkongsian maklumat antara negara-negara di dunia.

'Jika berkongsi tentu maklumat bocor dan diketahui orang lain,' adalah persepsi biasa orang ramai berhubung perkongsian maklumat ini tetapi pendapat pakar teknologi maklumat adalah sebaliknya.

Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Ramlan Mahmod berkata, perkongsian itu penting kerana bilangan negara yang kecil menghadkan maklumat diperoleh bagi pencarian dan pengesanan penjenayah siber.

MENGUKUHKAN PERTAHANAN SIBER

"Asasnya adalah pertahanan siber sama seperti pertahanan ketenteraan, melibatkan banyak aspek pengoperasian seperti pencegahan, pertahanan, pengesanan, pengintipan dan penyerangan," katanya dalam satu temubual eksklusif.

Beliau berkata pertahanan siber adalah satu sistem tersendiri yang berfungsi sama dengan pertahanan ketenteraan bezanya ia di dunia siber dan seperti pertahanan kententeraan, kerjasama atau 'alliance' antara negara penting dalam mengukuhkan pertahanan siber negara itu.

Penubuhan Global Cyber Security Alliance (GCSA) diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada 23 Ogos lepas adalah langkah bijak kerajaan dalam mengukuhkan pertahan siber Malaysia.

"Seperti dilaporkan dalam akhbar matlamat GCSA ialah mengukuhkan keselamatan siber bagi mengekang ancaman penggodam melalui perkongsian maklumat di kalangan negara anggota," katanya.

Dr Ramlan berkata dengan kerjasama itu keselamatan siber dalam kalangan negara anggota dapat dipertingkatkan dan seterusnya dapat mencegah jenayah itu 'berjangkit' antara negara anggota.

ENAM IMPAK GCSA

Pengukuhan pertahanan siber negara adalah impak pertama daripada enam impak penubuhan GCSA dan impak kedua, lebih banyak operasi penguatkuasaan undang-undang berkaitan jenayah siber diadakan dalam kalangan negara anggota.

Beliau berkata impak ketiga ialah perkongsian 'good practice' dan maklumat berkaitan teknik dan metodologi baru dalam mencegah jenayah siber.

Dr Ramlan berkata penubuhan GCSA juga mampu meningkatkan kecekapan, kepantasan dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang melibatkan negara luar yang memerlukan kerja forensik digital, iaitu impak keempat.

"Dalam kes tertentu bahan bukti digital mungkin perlu diperoleh daripada negara luar maka kerjasama dari kalangan negara anggota mahupun bukan anggota adalah penting," katanya.

Beliau berkata impak kelima peningkatan kesedaran dan pemahaman tentang kesan jenayah siber dalam kalangan semua lapisan masyarakat termasuk organisasi kerajaan dan syarikat perniagaan.

Katanya impak keenam memberikan amaran atau melakukan tindakan yang bersesuaian kepada negara dikenalpasti menjadi sumber kepada jenayah siber.

KERJASAMA LEBIH MELUAS

Dr Ramlan berpendapat GCSA perlu mengadakan kerjasama dengan organisasi yang mempunyai matlamat sama seperti The International Cyber Security Alliance (ICSPA) bagi memperluas usaha membanteras jenayah siber secara global.

"Saya mencadangkan kerjasama ini kerana kedua-duanya mempunyai matlamat sama meningkatkan keselamatan siber dan kerjasama itu mampu mengiatkan usaha perkongsian ilmu dan kepakaran ICT di kalangan anggota GCSA dan ICSPA," katanya.

Beliau berkata perkongsian ilmu dan kepakaran itu memainkan peranan penting sebagai pemangkin memajukan sektor ICT dalam kalangan negara anggota khususnya Malaysia.

Katanya, ICSPA yang ditubuhkan pada 5 Julai tahun ini dianggotai lebih 20 negara Eropah, Amerika Syarikat dan organisasi perniagaan seluruh dunia.

"Jenayah siber adalah masalah global maka usaha harus dibuat untuk membuka keanggotaan kepada seberapa banyak mungkin negara di dunia ini sama ada negara maju seperti Amerika Syarikat atau negara Eropah mahupun negara membangun," katanya.

TIADA KEBOCORAN MAKLUMAT

Pensyarah Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Aziz Deraman berkata kebocoran maklumat seperti dibimbangi orang ramai tidak seharusnya berlaku antara anggota GCSA.

"Ini kerana perkongsian maklumat biasanya diasaskan berdasarkan perjanjian atau etika tertentu. Maklumat keselamatan yang dikongsi pula biasanya bertumpu kepada maklumat penjenayah siber. Data biasanya tidak melibatkan data negara tertentu," katanya.

Beliau berkata GCSA sememangnya memperoleh faedah sekiranya disertai negara maju bagaimanapun Malaysia perlu menerajui GCSA dan kawalan GCSA perlu berada di tangan Malaysia.

Katanya dalam pembangunan produk ICT, GCSA mampu menjadi satu agensi jaminan kualiti produk yang dihasilkan Malaysia khususnya berkaitan keselamatan data dan perisian.

Pensyarah FSKTM UPM Prof Madya Dr S Shamala berkata GCSA mampu memberi perlindungan kepada individu yang menggunakan jaringan komputer pada tahap amat menyeluruh dengan perkongsian maklumat antara negara anggotanya.

"Ini boleh diterangkan dengan telefon bimbit, dulu bila kad prepaid tidak didaftar kita ada banyak masalah, bila kerajaan menguatkuasakan pendaftaran kita dapat mengesan dengan mudah siapa menyalahguna perkhidmatan itu, pendaftaran itu satu bentuk perkongsian maklumat keselamatan," katanya.

No comments:

Post a Comment