Friday 20 July 2012

ISU SEMASA:Wabak Acute Gastroenteritis (AGE)

Wabak Acute Gastroenteritis (AGE)
Sebanyak 2,236 kes dengan dua kematian dilaporkan berlaku akibat cirit-birit atau wabak acute gastroenteritis (AGE) yang menyerang daerah Hilir Perak dan Batang Padang dalam tempoh dua minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kedua-dua kes kematian itu berlaku di daerah Hilir Perak yang melibatkan bayi berusia 10 bulan dan dua bulan.
Katanya, daerah tersebut juga mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,397 kes dan selebihnya di Batang Padang khususnya di Tapah dan Bidor.
Katanya sehingga semalam, seramai 19 pesakit AGE dari Hilir Perak masih dirawat di Hospital Teluk Intan dan tujuh orang dari Batang Padang dirawat di Hospital Tapah. Keadaan mereka kini dilaporkan stabil. Kematian dipercayai berpunca daripada renjatan akibat kekurangan air dalam badan.
Menurut Hang Soon, berdasarkan kajian yang dijalankan, hampir separuh daripada kes tersebut melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Ujian makmal yang dijalankan ke atas pesakit menerusi pengambilan sampel najis bagi menguji kehadiran virus dan bakteria pula mendapati hampir semua virus tidak mengandungi bakteria tetapi 18 daripada 39 sampel yang diuji mengandungi Rotavirus.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri memandang serius wabak itu dan telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan pengawalan yang berterusan untuk memastikan kes cirit-birit tersebut dapat dibendung.
Antara langkah pencegahan termasuklah melakukan pemeriksaan di premis menjual makanan dan minuman di sekitar daerah berkenaan, mengadakan pendidikan kesihatan melalui risalah dan poster selain pemantauan berterusan kualiti air minuman bersama Lembaga Air Perak (LAP).
Dia ingin menjelaskan, walaupun mempunyai simptom jangkitan yang sama iaitu cirit-birit, wabak AGE tidak sama dengan wabak kolera.
Hang Soon turut menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan kebersihan khususnya dalam penyediaan makanan sebagai langkah pencegahan. Selain itu, bagi individu yang mengalami simptom seperti cirit-birit, muntah, sakit perut dan sakit kepala diminta segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di hospital.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak berasa panik kerana penularan wabak tersebut masih berada pada tahap terkawal.
Sumber: Berita Harian

No comments:

Post a Comment