PENDAHULUAN
Negara kita Malaysia terkenal di mata dunia
sebagai sebuah negara yang sedang pesat membangun. Kejayaannya bukan sekadar
menangani isu-isu tempatan, bahkan ia turut terlibat dalam menangani
permasalahan yang menimpa dan dialami oleh masyarakat antarabangsa. Malaysia
turut dikenali sebagai sebuah Negara Islam yang unik. Penduduknya berbilang
bangsa dan kaum serta mempunyai kepercayaan dan pegangan agama yang berbeza.
Majoriti terbesar warganya terdiri dari kaum Melayu beragama Islam. Bumi
Malaysia adalah tanah asal tempat tumpah darah mereka.
Dahulu, negara ini dikenali sebagai Tanah
Melayu. Tanah Melayu mendapat kemerdekaan pada tahun 1957. Pada tahun 1966,
namanya ditukar kepada ”Malaysia”. Beberapa jenis flora dan fauna di bumi subur
beriklim tropika ini sukar ditemui di tempat lain. Hasil komoditinya menjadi
idaman banyak pihak. Malaysia terkenal sebagai negara pengeluar bahan-bahan
mentah yang bernilai tinggi. Kedudukannya juga sangat strategik dalam lingkaran
laluan dagangan antarabangsa.
Walaupun rakyatnya berbilang etnik dan bangsa,
tetapi mereka dapat hidup rukun dan damai, tidak seperti penduduk di
negara-negara lain yang tidak sunyi dengan perbalahan, pertikaian dan
permusuhan sedangkan mereka terdiri dari bangsa, keturunan dan kepercayaan yang
sama.
Kehidupan rakyat negara ini pernah diuji.
Keharmonian hidup mereka tidak bertahan lama kerana dicemburui banyak pihak.
Beberapa kawasannya telah diserang dan dijajah oleh pelbagai kuasa seperti
Portugis, Belanda, Siam, Jepun, dan Inggeris. Segala bentuk, rupa dan rasa
keperitan dan kesukaran telah dilalui oleh ramai pemastautin tempatan apabila
mereka cuba menentang penjajahan asing demi memelihara tanah air tercinta.
Begitu juga semasa mereka berada di bawah cengkaman kuasa asing.
Banyak usaha dilakukan untuk mengembalikan
semula kehidupan tanpa tekanan pihak luar yang rakus kuasa dan benda lantaran
tamak haloba untuk mengaut kekayaan dan mengikis hasil negara. Beberapa
kemudahan disediakan oleh kuasa asing yang kononnya untuk membangunkan negara
agar boleh dinikmati oleh anak-anak pribumi, tetapi sebenarnya hanyalah helah
penjajah. Penjajah sanggup membawa biji-biji benih pokok getah untuk ditanam di
sini kerana buminya subur dan sesuai. Pelbagai alat dan kelengkapan canggih
ketika itu dibawa masuk untuk memudahkan kerja-kerja mencari dan menggali
khazanah galian seperti bijih timah, besi, arang batu, emas dan sebagainya.
Mereka meredah segala ceruk negara untuk mencari dan mengaut kekayaan yang
sangat tinggi nilainya. Mereka membina lingkaran pengangkutan darat, laut dan
udara untuk memindah dan memunggah kekayaan perut negara ini ke tempat mereka.
Kilang-kilang dibina untuk mengumpul, memproses, memilih dan membawa keluar
hasil komoditi terbaik, sementara yang tinggal hanyalah sisa-sisanya sahaja.
Mereka membawa masuk buruh-buruh asing dari pelbagai negara terutama dari China
dan India untuk mendapatkan hasil dengan lebih cepat tanpa mementingkan
bermacam masalah yang akan memberi kesan kepada kehidupan, perpaduan dan
keharmonian penduduk tempatan.
Semangat untuk mendapatkan kemerdekaan tidak
luntur dalam jiwa bangsa Melayu walaupun terpaksa menghadapi rintangan pihak
penjajah dan orang tempatan sendiri. Orang-orang Melayu yang dipimpin oleh Yang
Mulia Tunku Abd. Rahman Putra Al Haj tidak jemu-jemu mencari jalan terbaik dan
rela bekerjasama dengan kaum-kaum lain untuk mencapai kemerdekaan. Hasilnya
pada tanggal 31 Ogos 1957, ‘Bapa Kemerdekaan’ kita telah melaungkan kalimah
keramat ”MERDEKA” dan diulang suara oleh rakyat dari pelbagai bangsa dan
keturunan dengan penuh kesyukuran. Bendera ”Union Jack ” diturunkan dan
berkibar megah ”Jalur Gemilang” kemegahan rakyat jelata. Tanah Melayu mula
diiktiraf sebagai sebuah negara yang merdeka dan mempunyai sistem pemerintahan
dan perlembagaannya yang tersendiri.
Banyak perkara telah difikir dan pelbagai usaha
dilaksanakan untuk mengisi kemerdekaan dan memajukan bumi tercinta setelah
sekian lama ditadbir oleh penjajah. Bermacam-macam rintangan dan gerakan untuk
menggugat keharmonian, keamanan dan perpaduan antara kaum dapat ditangani oleh
barisan pimpinan negara. Namun begitu terjadi beberapa peristiwa yang tidak
diingini kerana masih ada niat dan usaha jahat pihak tertentu yang enggan
memberi kerjasama untuk membendungnya. Jesteru, maka perpaduan kaum dan
integrasi nasional adalah isu dan agenda utama pemimpin dan seluruh warga
negara Malaysia.
DEFINISI:
Perpaduan dapat diertikan sebagai hubungan erat
bersifat toleransi yang diwujudkan secara sengaja dalam kalangan kaum dan etnik
yang berbeza untuk mencapai matlamat bersama secara jujur dan ikhlas. Dalam
kata lain perpaduan adalah proses menyatupadukan seluruh masyarakat untuk
membentuk satu identiti dan nilai bersama serta perasaan cinta dan banggakan
negara.
Integrasi dirujuk kepada proses penyatuan
masyarakat berbilang kaum, daerah dan wilayah tempat tinggal, budaya, adat
resam, cara hidup, latar belakang, kepercayaan dan pegangan agama yang
berlainan untuk menjadi satu entiti yang terikat oleh norma dan nilai murni
masyarakat sejagat demi mencapai tujuan dan kepentingan bersama secara adil dan
saksama.
MASALAH PERPADUAN DAN
INTEGRASI NASIONAL.
Perpaduan rakyat menjadi satu cabaran utama yang
dihadapi oleh Kerajaan Malaysia. Isu perpaduan adalah utama dari sembilan
cabaran untuk mencapai matlamat Wawasan 2020 yang berbunyi ”Mewujudkan bangsa
Malaysia yang bersatu padu yang mempunyai matlamat yang serupa dan boleh
dikongsi bersama, berintegrasi di peringkat Wilayah dan antara kaum, berasaskan
persamaan hak dan keadilan”
Cabaran ini berkait dengan cabaran ke lima yang
berbunyi ”Mewujudkan masyarakat liberal dan bertolak ansur dengan rakyat
pelbagai kaum bebas mengamalkan adat, kebudayaan dan kepercayaan agama
masing-masing dan pada masa yang sama meletakkan kesetiaan mereka kepada
negara’. Cabaran ini berkait pula dengan cabaran ke tujuh iaitu untuk
”Mewujudkan masyarakat berbudi dan berbudaya penyayang” iaitu sistem sosial
yang lebih mementingkan masyarakat daripada diri sendiri dan kebajikan insan
tidak berkisar kepada individu tertentu sahaja.
HALANGAN DAN KESUKARAN UNTUK
PERPADUAN DAN INTEGRASI.
Terdapat beberapa faktor sejarah yang
menyulitkan proses pencapaian perpaduan di Malaysia. Di antaranya ialah;
- Agama dan kebudayaan: Setiap kumpulan etnik
mempunyai agama dan kebudayaan yang berlainan. Setiap kaum pula mempunyai
adat resam, bahasa, kesenian, budaya dan sistem nilai yang berbeza.
Masing-masing kurang mengenali dan memahami dan seringkali menganggap
mereka sahaja yang terbaik. Sikap ini menguatkan perasaan buruk sangka yang
menghalang pergaulan baik antara pelbagai kaum.
- Dasar Penjajah British: Penjajah British
mengamalkan dasar pecah dan perintah yang menjarakkan kumpulan-kumpulan
etnik demi kepentingan dan keselamatan mereka sendiri.. Penjajah sengaja
menentukan status dan peranan yang berlainan bagi kaum yang tertentu.
Interaksi antara kaum menjadi terbatas dan lahirlah sikap prasangka
negatif yang kukuh antara rakyat tempatan yang berbilang etnik.
- Sistem pendidikan, persekolahan dan bahasa yang berlainan: Laporan Razak menyebut bahawa tiada satu sistem pendidikan
nasional di Tanah Melayu di mana setiap etnik lebih gemar menghantar anak
mereka ke sekolah yang menggunakan bahasa ibunda masingmasing. Kurikulum
yang digunakan juga tidak sama. Ada pula yang berpusat ke negara nenek
moyang mereka, tidak terdapat bahasa pengantar yang sama. Keadaan ini
melebarluaskan lagi jurang pergaulan, menghasilkan pandangan yang
berlainan dan menjejaskan persefahaman dan perhubungan sesama rakyat di
samping mewujudkan keperibadian dan perwatakan yang berbeza tanpa
mempedulikan pembentukan warga negara yang beridentitikan satu negara.
- Amalan ekonomi yang berlainan: Setiap etnik menjalankan aktiviti ekonomi yang tertentu dan
mendiami kawasan yang berlainan. Keadaan ini mewujudkan jurang pendapatan
yang tidak seimbang dan menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan
etnik yang berlainan jenis dan ras serta mengakibatkan perpaduan negara
terancam.
- Perbezaan politik mengikut bangsa, kaum dan etnik: Kewujudan persatuan politik, sosial dan ekonomi berdasarkan
bangsa, kaum dan etnik tertentu telah memmperkuatkan identiti sesuatu
kumpulan dan menimbulkan perasaan syak wasangka kerana setiap kumpulan
hanya memperjuangkan hak dan kepentingan kumpulan tertentu sahaja.
Parti-parti politik yang berasaskan kepada suku kaum juga memainkan
pelbagai isu sensitif seperti bahasa, budaya, ekonomi dan hak keistimewaan
sehingga memburukkan lagi masalah perpaduan.
- Pendudukan Jepun: Kemasukan tentera Jepun
ke Tanah Melayu menambah jurang permusuhan antara orang Melayu dan orang
Cina. Sebilangan besar tentera anti Jepun terdiri dari orang-orang Cina,
sementara ramai pula orang Melayu yang diambil oleh tentera Jepun untuk
menjadi askar dan polis. Keadaan ini menjadikan menjejaskan persefahaman
dan menimbulkan perasaan kurang senang antara masyarakat Melayu dan Cina.
KAEDAH DAN LANGKAH YANG TELAH
DIAMBIL OLEH PIHAK KERAJAAN DALAMMENYUBURKAN INTEGRASI DAN PERPADUAN DI
MALAYSIA
PERISTIWA BERDARAH 13 MEI 1969
Penjajahan British melalui dasar pecah dan
perintah serta mementingkan kuasa dan ekonomi menyebabkan terjadi jurang
perbezaan dan pengenalan ekonomi berbentuk etnik antara kaum dan wilayah.
Pelbagai kaum terasa seperti tidak mendapat pembelaan dan peluang yang
sewajarnya. Dalam kempen pilihanraya 1969 pula, terdapat parti-parti politik
yang telah menimbulkan isu-isu sensitif yang menyentuh kaum tertentu.
Kehilangan dua pertiga majoriti parti Perikatan dalam pilihanraya umum
tersebut, diikuti kelantangan beberapa pemimpin parti pembangkang dan penyokong
mereka yang menimbulkan perasaan saling membenci dalam kalangan rakyat
berbilang kaum. Kemuncak manifestasi perkauman ini ialah peristiwa berdarah 13
Mei 1969.
Kerajaan bertindak pantas dengan menubuhkan
sebuah badan khas yang dikenali sebagaiMajlis Gerakan Negara (MAGERAN).
Majlis ini dipertanggungjawabkan untuk mengembalikan keamanan dan undang-undang
negara, menentukan pentadbiran yang licin, adil dan sempurna serta
mengembalikan suasana keharmonian dan kepercayaan antara kaum.
Peristiwa ini menunjukkan bahawa perpaduan
nasional sukar dicapai jika terdapat jurang perbezaan yang terlalu besar
terutama dari segi ekonomi, politik dan sosial antara rakyat pelbagai kaum.
Pada bulan Januari 1970, Majlis Perundingan Negara (MPN) ditubuhkan.
Fungsi utama majlis ini ialah meneliti isu-isu perpaduan negara serta mencari
jalan untuk menyelesaikannya. Antara hasil utama Majlis ini ialah Rukun
Negara dan Dasar Ekonomi Baru.
Perisytiharan Rukun Negara pada 31 Ogos 1970
sebagai ideologi kebangsaan negara adalah bertujuan agar fikiran, pendapat dan
perasaan rakyat pelbagai kaum dapat dipersatukan secara pemuwafakatan dan
bijaksana tanpa membangkitkan isu-isu sensitif yang boleh mencetuskan keadaan
yang tidak diingini.
Dasar Pendidikan Kebangsaan
dan Perpaduan Negara
Pendidikan menjadi tunjang kepada perpaduan
negara. Tidak dapat dinafikan bahawa sekolah dan pendidikan memainkan peranan
yang sangat penting dalam pembinaan dan pembentukan warga negara dan rakyat
yang bersatu padu. Sememangnya telah dicatatkan dalam Falsafah Pendidikan
Kebangsaan bahawa ”Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah
memperkembangkan lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk
mewujudkan insan yang harmonis dan seimbang dari segi intelek, rohani, emosi
dan jasmani berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini
adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berakhlak
mulia, bertanggungjawab dan berkemampuan mencapai kesejahteraan diri serta
memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran masyarakat dan negara”
Secara tidak langsung dasar ini dapat melahirkan
satu masyarakat Malaysia yang bersatu padu dan berintegrasi seperti yang dihasratkan
dalam Rukun Negara melalui penggunaan dan penghayatan kurikulum yang bersepadu,
penggunaan bahasa pengantar dan sistem peperiksaan yang sama serta penglibatan
aktif pelajar dalam aktiviti-aktiviti kokurikulum yang dirancang dan
dilaksanakan sepanjang persekolahan pelajar.
Kurikulum yang dibina bukan saja bertujuan untuk
memberi ilmu pengetahuan dan maklumat berbentuk akademik sahaja, bahkan ia juga
dapat membentuk sahsiah, keperibadian dan perwatakan murid yang diingini bagi
memupuk perpaduan. Kurikulum ini berorientasikan suasana Malaysia dan
dilaksanakan melalui Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Kurikulum
Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) mulai tahun 1983. Mata pelajaran Pendidikan
Islam, Pendidikan Syariah Islamiah, Pendidikan Al Quran Dan Assunnah dan
Pendidikan Moral yang diperkenalkan dapat mengukuhkan pegangan agama, menanam
sifatsifat mulia serta membentuk tingkahlaku yang bersopan santun dan saling
menghormati sesama manusia.
Penubuhan Kelab Rukun Negara
Di Sekolah
Semasa merasmikan sambutan Hari Perpaduan
Peringkat Kebangsaan 2000 di Melaka, Yang Amat Berhormat Dato’ Seri Abdullah
Bin Hají Ahmad Badawi selaku Timbalan Perdana Menteri pada ketika itu, telah
menyarankan supaya Kelab Rukun Negara ditubuhkan di sekolah.
Sebelum itu, dalam perasmian Hari Perpaduan
Peringkat Kebangsaan 1999 di Pahang, beliau menyeru seluruh rakyat Malaysia
agar sentiasa berpegang teguh kepada prinsip-prinsip Rukun Negara untuk
menjamin perpaduan dan kemakmuran negara agar terus berkekalan. Dengan tertubuhnya
Kelab Rukun Negara di sekolah melalui Surat Pekeliling Ikhtisas Bilangan
17/2000 yang dikeluarkan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia berkaitan
Penubuhan Kelab Rukun Negara Di Sekolah, maka pengetahuan, pemahaman,
penghayatan warga sekolah terutamanya golongan relajar terhadap prinsip-prinsip
Rukun Negara ke arah menjana semangat perpaduan yang lebih jitu dapat
dipertingkat dan diperkukuhkan..
USAHA YANG BOLEH DIJALANKAN DI
PERINGKAT MASYARAKAT SETEMPATProgram Pemuafakatan Masyarakat –
Program pemuwafakatan antara masyarakat setempat
boleh diadakan melalui program-program ilmiah seperti ceramah motivasi,
aktiviti keagamaan, Makan Beradab, gotong royong, majlis perkahwinan dan
sebagainya.
Hari Keluarga dan Sukan Rakyat
–
Program yang melibatkan seluruh ahli masyarakat
boleh diadakan. Pelbagai acara dijalankan melibatkan semua peserta. Selain
dapat menghilangkan perasaan tertekan dengan bebanan tugas, program ini dapat
membina persefahaman, keteguhan perpaduan dan perasaan kasih sayang dalam
kalangan seluruh warga masyarakat.
Acara kebudayaan dan kesenian-
Pelbagai acara berbentuk kebudayaan dan kesenian
rakyat boleh diadakan seperti permainan tradisi, boria, dikir barat,
persembahan kebudayaan setiap kaum di Malaysia dan lain-lain lagi yang disertai
oleh anggota masyarakat. Selain dapat berhibur, semua yang terlibat dapat
memahami dan mematuhi peraturan yang digariskan.
Majlis Sambutan Hari Raya,
Ucapan Tahun Baru Cina dan Hari Deepavali-
Setiap kali menjelang hari perayaan, masyarakat
melalui pertubuhan atau organisasi seperti JKKK atau NGO mengatur program yang
melibatkan seluruh warga masyarakat. Beraneka jenis makanan yang dihidang
dinikmati bersama. Sumbangan yang diperolehi dari pelbagai pihak disampaikan
kepada mereka yang kurang berkemampuan. Ucapan selamat yang diberikan, disambut
dengan penuh kemesraan dan dapat membentuk perasaan kasih sayang dan perpaduan
rakyat berbilang kaum dalam komuniti tempatan.
Aktiviti Riadah -
Seterusnya, kerajaan perlu menggalakkan setiap
ahli masyarakat mengambil bahagian dalam pelbagai program yang dianjur pelbagai
pihak seperti Pihak Berkuasa Tempatan, Majlis Belia Malaysia, Jabatan Agama
Islam, Rakan Muda, INMIND dan sebagainya. Antara aktiviti yang boleh dijalankan
ialah senamrobik, mencari harta karun, larian, Perarakan Sambutan Maulidur
Rasul dan Ma’al Hijrah, Larian Merdeka dan sebagainya. Setiap ahli masyarakat
dapat berinteraksi dengan peserta dari pelbagai kaum dan lapisan masyarakat.
Mereka dapat memahami dengan lebih mendalam erti perpaduan dan perasaan hormat menghormati
sesama masyarakat.
KAEDAH DAN LANGKAH YANG BOLEH
DI AMBIL DI PERINGKAT SEKOLAHSekolah Penyayang –
Satu program yang dilaksanakan di sekolah dengan
menekankan konsep ”Sekolahku Syurgaku” dan ”Yang Tua Dihormati, Yang Muda
Disayangi” dengan penyertaan bersama ibubapa pelajar melalui Persatuan Ibubapa
dan Guru. Amalan ini dapat mewujudkan golongan pelajar yang cinta kepada
sekolah, membentuk peribadi pelajar yang suka menolong dan menghormati orang
lain, berbudi pekerti mulia, serta menimbulkan perasaan kasih sayang dan
hubungan mesra antara warga sekolah dan sesama ibubapa para pelajar.
Pelaksanaan Rancangan
Integrasi Murid Untuk Perpaduan (RIMUP) –
Sebagai sebuah sekolah berasrama penuh yang
majoriti pelajarnya terdiri dari pelajar Melayu, namun mereka berasal dari
daerah dan negeri yang berlainan termasuk dari Sabah dan Sarawak. Program RIMUP
secara kelompok turut diadakan di mana pelajar-pelajar dari sekolah ini
terlibat dengan program yang dirancang bersama dengan sekolah–sekolah lain
yang, mempunyai pelajar berbilang kaum. Jawatankuasa RIMUP peringkat sekolah
dan kelompok dianggotai kaum yang pelbagai. Kesan penglibatan pelajar dan warga
sekolah dalam program ini adalah sangat baik. Ia membolehkan mereka
berinteraksi dan bergaul secara lebih erat dan mesra seterusnya menyumbang
kepada perpaduan dan integrasi rakyat yang lebih erat.
Penyertaan Dalam Kokurikulum –
Semua pelajar diwajibkan mengambil bahagian
dalam persatuan, permainan dan pakaian seragam. Penyertaan aktif dalam
kokurikulum dan pembabitan mereka dalam perkhemahan, persembahan dan
pertandingan di pelbagai peringkat akan mendedahkan mereka kepada situasi yang
berlainan dan beragam. Terdapat peraturan dan disiplin tetrtentu semasa
mengikuti program-program yang dijalankan. Pemilihan ahli jawatankuasa
dilakukan secara demokrasi dengan bimbingan guru penasihat dan jurulatih dari
pelbagai agensi. Mereka dapat berinteraksi secara sihat serta mematuhi
peraturan dan disiplin yang ditentukan. Hasil dari penglibatan pelajar secara
aktif dalam aktiviti yang dilaksanakan adalah sangat memuaskan terutama dalam
usaha untuk membentuk dan membina kehidupan masa depan pelajar dan sebuah
masyarakat yang berdisiplin, berharmoni bersatu padu dan berintegrasi.
Sambutan Bulan Patriotisme dan
Kemerdekaan –
Setiap tahun sekolah mengadakan pelbagai program
sempena memperingati hari ulangtahun kemerdekaan negara. Jawatankuasa sambutan
peringkat sekolah ditubuhkan dengan kerjasama Kelab Rukun Negara, Unit
Bimbingan Dan Kaunseling, Kelab Guru dan Kakitangan, Persatuan Sejarah dan
Persatuan-persatuan pelajar. Sekolah juga turut melibatkan penyertaan PIBG,
Alumni, tokoh-tokoh dan sejarawan, Agensi dan Badan Kerajaan dan Bukan Kerajaan
dalam aktiviti yang dilaksanakan. Acara yang dilaksanakan ialah seperti ceramah
kemerdekaan, tayangan gambar berbentuk patriotik, pembacaan sajak, sketsa,
pentomen, kibaran ”Jalur Gemilang”, hiasan bilik darjah dan asrama, pidato,
forum, penulisan esei, derma darah, pameran, melukis potret tokoh negara,
perbarisan dan perarakan serta sambutan detik kemerdekaan. Pelajar juga
terlibat dengan program sambutan yang dianjurkan oleh pihak lain di peringkat
daerah, negeri dan kebangsaan. Penyertaan pelbagai pihak dalam menjayakan
program ini dapat membina keyakinan semua warga sekolah berkaitan pembinaan
bangsa Malaysia yang merdeka dan bertanggungjawab, bersifat patriotisme yang
tinggi dan cintakan kehidupan bersatupadu dan kestabilan negara.
Lawatan dan ziarah di
peringkat sekolah–
Sekolah menggalakan para pelajar membuat program
lawatan ke tempat-tempat bersejarah, Parlimen, Putrajaya, Bandaraya Melaka,
Memorial, Tugu Negara, Muzium Negara, Rumahrumah kebajikan, asrama anak-anak
Yatim dan miskin, Penjara, Rumah perlindungan kanakkanak, asrama orang kurang
upaya, sekolah, universiti dan sebagainya. Pelbagai acara diadakan semasa
lawatan dan ziarah tersebut diadakan seperti perbincangan, gotong royong,
persembahan kesenian dan kebudayaan, pertukaran maklumat dan sebagainya. Kesan
dari program lawatan dan ziarah ini sangat bermakna dan memberi kesedaran
kepada pelajar peri pentingnya berbudi bahasa, mengamalkan toleransi dan
perhubungan baik sesama rakyat berbilang kaum dan keturunan.
Perkhemahan Bina Insan bagi
pelajar sekolah–
Program ini melibatkan semua pelajar dan
guru-guru serta sebahagian kakitangan sokongan sekolah. Kerjasama diperolehi
dari pelbagai pihak seperti Kerajaan Negeri, Bomba, Polis dan sebagainya.
Acara-acara yang dijalankan ialah seperti ceramah motivasi, pembinaan jati
diri, kerohanian, kembara, ikhtiar hidup, kewarganegaraan dan riadah. Suasana
perkhemahan yang dijalankan di luar kawasan sekolah sangat menyeronokkan para
pelajar. Selain dari mendapat maklumat dan kemahiran baru, mereka dapat merasai
keindahan alam Malaysia, nikmat kehidupan dalam sebuah negara yang aman dan
damai.
PENUTUP:
Kejelekitan perpaduan dan integrasi rakyat dalam
sebuah negara berbilang kaum sukar dicapai tanpa pendedahan awal yang
berstrategik, keintiman, persefahaman semua pihak, kepercayaan dan pegangan
kukuh terhadap ajaran agama, di samping menghayati dengan penuh keinsafan
intipati dan kandungan tersurat dan yang tersirat dalam kesemua prinsip rukun
negara.
Penghayatan Rukun Negara untuk mencapai
perpaduan dan integrasi nasional yang padu lagi jitu dilaksanakan di negara ini
melalui proses pendidikan dan pembelajaran berdasarkan kurikulum Kebangsaan,
pembabitan dalam kokurikulum yang teratur dan terancang, penghayatan keagamaan
dalam kehidupan seharian, penyertaan semua warga organisasi dalaman sekolah dan
di luar sekolah mahupun seluruh anggota masyarakat yang juga warga negara
Malaysia dalam pelbagai aktiviti yang menjurus kepada pembentukan kehidupan
rakyat yang bersatu padu secara kolektif serta jalinan perhubungan yang baik dan
mesra yang diamalkan secara ikhlas dan penuh keinsafan oleh semua pihak
berdasarkan prinsip-prinsip Rukun Negara Malaysia.
Kini kita berada dalam era globalisasi dan
liberalisasi. Pelbagai usaha dijalankan adalah demi menuju ke arah membentuk
sebuah masyarakat majmuk yang bersatu padu. Walaupun terdapat beberapa cabaran,
tetapi dengan adanya perancangan yang teliti, usaha yang gigih dan strategi
yang lebih berkesan dan dilaksanakan pula dengan penuh tanggungjawab dan
bersifat pro aktif oleh semua pihak sudah pasti keharmonian, perpaduan dan
integrasi nasional akan tercapai dengan restu dan perkenan Tuhan Yang Maha
Berkuasa.
No comments:
Post a Comment