Rasuah dilihat semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat Malaysia kini. Ia
dilihat sebagai masalah sosial yang semakin hari semakin parah. Setiap hari ada
sahaja berita yang melaporkan tentang gejala rasuah ini. Perkataan rasuah
berasal daripada perkataan Arab iaitu l-risywah. Di dalam al-Quran, rasuah
digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain
seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Dalam al-Quran sendiri telah
mendifinisikan perkataan rasuah ini adalah berkaitan dengan sesuatu yang tidak
baik dan dilaknat.
Secara amnya, rasuah merupakan satu tindakan
pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan
pertolongan dan faedah bagi kepentingan dirinya sendiri. Ini kerana apabila
melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperolehi kehendaknya itu. Ini
bermaksud, kuasa yang telah diberikan kepadanya akan disalahgunakan dan
bertindak untuk kebaikan diri sendiri. Mereka juga lebih cenderung bersikap
pilih kasih dan bermuka-muka dalam setiap tindakan bagi mengelak daripada
perbuatannya di ketahui umum.
Di Malaysia, dari segi undang-undang,
segala perkataan yang membawa maksud kepada memberi dan menerima suapan adalah
sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. Kes-kes rasuah
biasanya membabitkan pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk menentukan atau
meluluskan sesuatu perkara. Masalah rasuah di Malaysia sememangnya semakin
menjadi-jadi. Banyak kes-kes dilaporkan yang membabitkan rasuah. International
Transparency telah mendedahkan indeks persepsi rasuah global pada tahun 2009.
Mengikut laporan berkenaan, kedudukan Malaysia adalah ditangga ke 56 berbanding
180 negara. Ini dapat membuktikan betapa parahnya masalah rasuah di negara kita.
Punca penglibatan
Terdapat pelbagai punca yang membolehkan
seseorang cenderung untuk melakukan jenayah ini. Antaranya adalah disebabkan
oleh individu itu sendiri. Maksudnya, individu yang mempunyai keperibadian yang
lemah seperti kurangnya iman dan bersifat meterialistik. Secara logiknya,
seseorang itu sememangnya mengetahui bahawa rasuah adalah dilarang oleh agama
dan undang-undang, tetapi sanggup melakukannya dengan seribu satu alasan
peribadi.. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat
kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah
keperibadiannya.
Selain itu, rasuah ini disebabkan daripada kelemahan
kepimpinan dalam sesebuah organisasi. Sesebuah organisasi seharusnya mempunyai
pemimpin yang tegas, telus dan adil dalam menjalankankan segala operasi
organisasinya. Ini bagi memastikan organisasi dapat menghindari masalah dalaman
yang berpunca dari pucuk pimpinan itu sendiri. Kepimpinan yang lemah menyebabkan
kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lambat dalam menjalankan tugas dan
terbuka kepada penyelewengan khususnya gejala rasuah ini
Rasuah juga
berpunca daripada sosial dan budaya yang telah diterapkan dalam masyarakat
Malaysia. Sebagai contoh, masyarakat majmuk di Malaysia sering mengamalkan
tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari
kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya.
Jadi, mereka yang memberi dan menerima rasuah akan merasakan kegiatan mereka
adalah sesuatu perkara biasa atau perkara normal di mata masyarakat.
Disamping itu, arus permodenan yang berlaku kini juga menjadi antara
penyebab utama gejala rasuah ini semakin berleluasa. Pembangunan sosial ekonomi
yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan menyebabkan
masyarakat memandang mudah terhadap masalah rasuah ini. Projek pembangunan
bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan
yang terlibat mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya.
Contohnya adalah kontraktor- kontraktor sanggup melakukan jenayah rasuah ini
bagi mendapatkan tender sesuatu projek.
Kesan penyalahgunaan
rasuah
Rasuah sememangnya akan mendatangkan banyak masalah. Bukan sahaja
terhadap individu yang melakukannya, bahkan kepada masyarakat sekeliling dan
lebih parah apabila mula melibatkan negara kita. Kegiatan rasuah boleh
melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Pentadbiran sesebuah negara
juga boleh menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia boleh menimbulkan masalah lain
seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya.
Akhirnya boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara.
Contohnya, di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden
Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak dapat dikawal
lagi.
Langkah_langkah mengatasi
Melihat kepada akibat daripada
amalan rasuah ini, langkah-langkah membanteras perlu dilakukan dengan tegas dan
konsisten. Semua pihak harus bekerjasama bagi menjayakan langkah pencegahan ini.
Antaranya adalah dengan komitment masyarakat. Masyarakat perlu peka terhadap
masalah rasuah yang berlaku di negara ini. Masyarakat perlu ada jatidiri yang
kuat untuk menghindarkan diri dari melakukan rasuah. Selain itu, Peranan ibubapa
dalam didikan agama dan moral tentang keburukan terhadap perlakuan rasuah perlu
diterapkan ke dalam diri anak-anak sejak kecil lagi supaya gejala rasuah ini
tidak wujud dalam generasi akan datang.
Kerajaan juga memperlihatkan
kesungguhan untuk membanteras gejala rasuah ini. Kerajaan telah mewujudkan
sebuah badan untuk membanteras masalah rasuah ini yang dikenali sebagai
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) bagi membuat siasatan yang lebih
mendalam atau membanteras masalah ini hingga ke akar umbi. Kerajaan juga telah
meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman bagi sesiapa yang terlibat
dalam rasuah ini. Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan
lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak
dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara.
Kesimpulan
Kesimpulannya, masyarakat perlu sedar akan bahaya
serangan penyakit sosial yang telah melanda dunia sejak sekian lama ini. Malah
penularan penyakit ini dilihat semakin menjadi-jadi dinegara kita. Tanpa sedar,
masalah ini boleh menyebabkan negara menjadi huru-hara dan timbul banyak
masalah. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama dalam membanteras masalah ini
supaya dapat memupuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab, amanah dan ikhlas.
Akhirnya, kita dapat membentuk generasi akan datang yang bebas daripada
rasuah.
Saya suke kesimpulan ni... Bley pakai utk bnyak topic... Terima kasih yg empunya blog...
ReplyDeletethank you for the nice conclusion ✨
ReplyDeletethank you for the nice conclusion ✨
ReplyDeleteNice untuk kesimpulan
ReplyDelete