Jerat jenayah siber
LAPORAN terkini dikeluarkan pihak CyberSecurity menunjukkan kadar jenayah siber di negara ini meningkat sehingga 88 peratus pada tahun lalu berbanding hanya 8.090 kes pada tahun sebelumnya. Itu kes yang dilaporkan. Mungkin banyak lagi yang tidak dilaporkan dan jika diamati pasti jumlah berkenaan amat membimbangkan semua pihak.
Ibu bapa tidak tahu 25 peratus kanak-kanak dan remaja berbual dengan orang yang tidak dikenali dan hanya empat daripada 10 ibu bapa saja yang mengetahui apa yang dicari anak di internet. - Aminah Abdul Rahman, Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN)Paling membimbangkan, isu jenayah siber mengheret pelbagai peringkat usia, termasuk kanak-kanak dan remaja ke kancah berkenaan sehingga boleh meruntuhkan integriti generasi muda jika tidak dikekang.
Kira-kira 90 peratus daripada 8.5 juta kanak-kanak dan remaja berusia lima hingga 18 tahun terdedah dengan gejala negatif dunia siber manakala 94 peratus pengguna internet di Malaysia adalah remaja.
Malah, laporan di akhbar tempatan, kebanyakan kes jenayah siber membabitkan remaja sekolah menengah hingga ke peringkat universiti sedang mereka sepatutnya mengetahui mengenai nilai kendiri yang perlu ada untuk melindungi diri daripada jenayah itu.
Ibu bapa mungkin tidak menduga perkara itu dan menganggap anak mereka bebas gejala terbabit. Namun, natijahnya amat menggerunkan kerana ia berkaitan akhlak remaja generasi kini yang sewajarnya ditatang dengan baik untuk mewarisi pemimpin, pada masa depan.
Ketua Pengarah Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN), Datuk Aminah Abdul Rahman, berkata bentuk kekeluargaan yang ada di negara ini menyumbang kepada corak integriti yang wujud kini terutama mengenai kebebasan menggunakan kemudahan siber.
Katanya, kepelbagaian bentuk perhubungan melalui dalam talian yang wujud hari ini seperti Facebook (fb), Twitter, Myspace, Youtube dan Yahoo menjadikan Malaysia adalah pengguna kelima tertinggi di Asia Pasifik.
“Ada pelbagai sebab kenapa mereka melayari internet. Antara alasan lazim untuk mendapat maklumat, pendidikan, berkomunikasi, urus niaga membabitkan kewangan, ada juga yang melakukan e-transaksi kerajaan, membeli-belah serta melakukan perkhidmatan awam.
“Sehubungan itu, ibu bapa perlu peka dan tahu apa dilakukan anak ketika mereka melayari internet kerana pelbagai sumber maklumat sama ada negatif atau positif boleh diperoleh dengan mudah,” katanya ketika menyampaikan kertas kerja Keibubapaan Efektif Dalam Menangani Media Baru pada Seminar Pemerkasaan Integriti Keluarga, di Kuala Lumpur, baru-baru ini.
Turut hadir, Ahli Lembaga Pengarah IIM, Tan Sri Datuk Setia Ambrin Buang dan Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Heng Seai Kie.
Seminar itu bertujuan membincangkan mengenai pengaruh internet terhadap peneguhan integriti di kalangan generasi muda dengan tema ‘Anak-anak Berintegriti: Jaminan Kesejahteraan Keluarga dan Negara’ dianjurkan bersama Institut Integriti Malaysia (IIM) dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) dan LPPKN.
Aminah berkata, 70 peratus ibu bapa tidak sedar anak mereka terdedah kepada pornografi dan 1/3 ibu bapa pula tidak tahu mengenai media sosial yang digunakan anak mereka setiap hari.
“Remaja dan kanak-kanak menghabiskan masa 4.5 jam sehari melayari internet dengan remaja lelaki mendahului remaja perempuan berhubung penggunaan bahan porno di internet. Ibu bapa tidak tahu anak mereka mengguna purata, 19 jam seminggu untuk membuat carian di internet.
“Kajian menunjukkan wujud kesan negatif daripada bentuk media baru ini. Ibu bapa tidak tahu 25 peratus kanak-kanak dan remaja berbual dengan orang yang tidak dikenali dan hanya empat daripada 10 ibu bapa saja yang mengetahui apa yang dicari anak di internet,” katanya.
Sehubungan itu, Aminah menegaskan, pelbagai usaha dilakukan pihak kerajaan bagi membendung gejala keruntuhan moral disebabkan media baru, pada masa sama mengukuhkan integriti dan jati diri remaja serta kanak-kanak di negara ini.
“Modul dirangka kerajaan membabitkan gembleng tenaga banyak pihak seperti ibu bapa dan pihak pentadbir. LPPKN sendiri menerusi program berbentuk kekeluargaan menekankan pembabitan ibu bapa untuk mengatasi gejala negatif ini.
“Antara program diadakan berasaskan Kemahiran Keibubapaan dan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial Remaja (PKRS), manakala elemen dalam modul adalah seperti mengawal kendiri remaja supaya tidak terpengaruh dengan unsur negatif dalam internet,” katanya.
Matlamat lain kempen berkenaan memberi kesedaran berhubung penggunaan internet yang selamat kepada pelajar, guru dan ibu bapa, selain beri maklumat lanjut berkenaan isu teknologi serta sosial berkaitan internet.
“Pelajar dan guru patut tahu cara gunakan internet dengan betul termasuk perlindungan dalam penggunaan internet. Penekanan secara holistik berdasarkan prinsip dan nilai murni membantu remaja dan kanak-kanak meneroka alam siber dengan lebih selamat,” katanya.
Sementara itu, Pensyarah Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Datin Dr Sapora Sipon, berkata internet menyediakan memberi manfaat pengguna terhadap kemudahan kemudahan jaringan yang tersedia, namun jika disalahkan gunakan akan mendatangkan kesan negatif dan menjejaskan integriti diri.
Katanya, ia menjadi media sosial dalam talian, berinteraksi, berbincang dan menciptakan isi meliputi blog, jejaring sosial, wiki, forum dan dunia virtual.
“Andreas Kaplan dan Michael Haenlein mendefinisikan media sosial sebagai satu kelompok aplikasi berasas internet membangun di atas dasar ideologi dan teknologi Web 2.0. Ia memungkinkan penciptaan dan pertukaran kandungan - pengguna - penjana,” katanya pada membentangkan kertas kerja bertajuk Media Sosial: Kebaikan atau keburukan, Perspektif Integriti.
Sapora bersetuju ejen ‘perhubungan’ yang paling kerap digunakan pengguna internet pelbagai usia ialah seperti forum internet, weblog, blog sosial, microblogging, wiki, podcast, foto atau gambar, video dan jumlah akaun pengguna facebook di Malaysia pula hampir mencecah 10 juta.
Dalam erti kata lain, setiap satu daripada tiga rakyat di negara ini mempunyai akaun fb, lantaran bayangkan betapa jaringan perhubungan yang meluas ini di seluruh dunia terbentuk.
Bagaimanapun, tidak semua bijak menapis baik dan buruk, malah ada antaranya
dengan mudah memberi maklumat diri atau peribadi kepada rakan di alam maya tidak dikenali.
“Ada dedahkan alamat rumah, beri butir akaun termasuklah sebarang maklumat yang tidak sepatutnya dikongsi dengan orang yang tidak dikenali.
“Kebaikan blog menjadi tempat perbincangan di ruang komen dari pelbagai lokasi di seluruh dunia ialah ia melatih kemahiran menulis walaupun pelbagai bahasa. Melatih seni kemahiran reka digital, terutama mereka blog, kod atau ‘blog skin.’ Bahkan blog juga menjadi tempat menyampaikan idea, gagasan atau tugasan,” katanya.
Cuma, ibu bapa perlu memantau anak supaya kemudahan yang dijana daripada internet itu diguna dengan tujuan bermanfaat bukan terjerat dengan pelbagai masalah keruntuhan sosial.
Katanya, internet sering dijadikan medan menyampai maklumat palsu, fakta salah dan berunsur fitnah, memburuk-burukkan seseorang seperti tokoh politik atau selebriti, menyebarkan maklumat tidak berguna untuk mendapatkan keuntungan besar daripada iklan di blog.
“Penggunaan internet juga menggalakkan penyamaran dengan tidak memaparkan nama dan wajah sebenar, menyebarkan maklumat lucah, imej porno, fail digital berkaitan maklumat palsu, fakta salah dan berunsur fitnah.
“Bahkan ada memaparkan aib keluarga dengan menulis rasa tidak puas hati di laman fb atau blog dan sepatutnya dielakkan,” katanya.
No comments:
Post a Comment