Saturday, 21 July 2012

KERATAN AKHBAR:PEMERDAGANGAN ORANG

Peningkatan kes pemerdagangan manusia dan penyeludupan masuk pendatang berkemungkinan memberi kesan negatif kepada ekonomi negara, kata Felo Utama Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Dr Azizah Kassim.

"Ia mencemar nama baik Malaysia dalam arena antarabangsa melainkan jika kerajaan menyediakan lebih banyak sumber daripada segi kewangan dan modal insan bagi membanteras kegiatan haram ini," katanya dalam satu kertas kerja yang dibentangkan pada bengkel Pemberitaan Mengenai Pemerdagangan Manusia di Kuching baru-baru ini.

Dr Azizah, yang juga anggota Majlis Anti Pemerdagangan Manusia dan Anti Penyeludupan Pendatang (MAPO), berkata pemerdagangan manusia dan penyeludupan pendatang merupakan kegiatan yang kompleks.

Ia melibatkan banyak pihak seperti di peringkat negara sumber, transit dan destinasi, sindiket antarabangsa, mangsa dan mereka yang bersubahat, yang kesemuanya boleh menimbulkan ancaman kepada keselamatan sempadan, katanya.

Sambil memetik beberapa perangkaan, Dr Azizah berkata kes melibatkan wanita dieksploitasi tahun ini sahaja berjumlah 217 diikuti buruh paksaan sebanyak 70, melanggar undang-undang imigresen (38) dan penjualan bayi (30).

Beliau berkata selain mengancam undang-undang dan keselamatan negara, kes-kes tertentu juga mencetuskan pertikaian diplomatik antara negara berhubung layanan terhadap mangsa penyeludupan.

"Melawan kegiatan seperti ini memerlukan usaha besar-besaran yang bukan saja melibatkan kos tetapi juga kerjasama negara-negara yang berkaitan, agensi antarabangsa dan badan bukan kerajaan," katanya.

Dr Azizah berkata disebabkan keadaan politik yang tidak stabil dan kemajuan ekonomi tidak seimbang dalam rantau Asean, beberapa negara yang menikmati pertumbuhan ekonomi lebih baik seperti Malaysia, menjadi pilihan "pendatang ekonomi", sama ada secara sah ataupun tidak.

Beliau juga berkata Malaysia memerlukan bantuan termasuk pakar dalam melindungi mangsa, latihan kepada pengurus dan petugas tempat pelindungan selain untuk menjalankan siasatan dan pendakwaan serta juga perkongsian kos dengan negara sumber dan transit bagi penghantaran balik mangsa.

Friday, 20 July 2012

RUJUKAN:JENAYAH PENCULIKAN

Peningkatan kadar jenayah di negara ini yang semakin bertambah memerlukan komitmen semua pihak bagi menanganinya. Ketenteraman kehidupan masyarakat tergugat akibat kejadian jenayah yang semakin mengancam ini. Jenayah penculikan kanak-kanak merupakan antara kes jenayah yang kian meningkat. Hilangnya perasaan kasih sayang dan belas kasihan menyebabkan perkara ini berlaku. Kecuaian ibu bapa atau penjaga kanak-kanak dan sikap orang awam yang tidak mempedulikan perkara yang berlaku di sekeliling mereka menyebabkan jenayah ini semakin bertambah. Pelbagai pihak perlu mencari jalan penyelesaian agar jenayah yang meragut kebahagiaan dan keharmonian rakyat ini dibanteras dengan secepatnya.
Antara pihak yang seharusnya memainkan peranan dalam usaha membanteras jenayah ini ialah ibu bapa. Hal ini demikian kerana ibu bapalah insan yang terdekat dengan anak-anak. Institusi kekeluargaan perlu diteguhkan dengan ibu bapa mengambil sikap sentiasa berwaspada terhadap setiap pergerakan anak-anak mereka. Selain mendidik anak-anak dengan sahsiah yang terpuji, ibu bapa perlu mengingatkan anak-anak tentang musibah yang akan berlaku akibat kecuaian diri sendiri. Anak-anak perlu didedahkan dengan keselamatan diri, bukan sahaja di jalan raya, bahkan sentiasa berwaspada dengan gejala penculikan. Ibu bapa juga bertanaggungjawab untuk sentiasa memerhatikan anak-anak dan bersama-sama mereka apabila berada di luar kawasan rumah. Kanak-kanak memang mudah terpengaruh oleh persekitaran di sekeliling mereka.
Saranan kerajaan kepada pihak sekolah agar memasang televisyen litar tertutup dapat memantau pergerakan kanak-kanak di sekolah dan di kawasan sekitar sekolah. Pihak sekolah,terutamanya guru-guru perlu sentiasa peka dan memerhatikan murid-murid di luar kawasan sekolah, terutamanya sewaktu mereka pulang dari sekolah agar masalah penculikan tidak berlaku. Pesanan dan nasihat daripada guru-guru perlu sering diperingatkan kepada murid-murid agar mereka tidak alpa akan keselamatan diri sendiri. Murid-murid hendaklah menunggu ketibaan ibu bapa di kawasan yang selamat seperti di dalam kawasan sekolah dan di kawasan yang mudah dilihat oleh orang ramai. Selain itu, murid-murid dinasihatkan agar bergerak di dalam kumpulan dan tidak mendekati orang yang tidak dikenali.
Di samping itu, pertubuhan rukun tetangga juga dapat menolong dalam usaha mengatasi jenayah penculikan kanak-kanak dengan membantu pihak polis memantau kawasan sekitar daripada berlaku sebarang kejadian yang tidak diingini. Rukun tetangga yang tidak aktif perlu dihidupkan semula. Kini ahli rukun tetangga mencecah kepada 80 000 orang di seluruh negara. Pelbagai inisiatif seperti cuti dan elaun rondaan diberikan kepada ahli rukun tetangga yang bertugas. Masyarakat harus berperanan menjaga keselamatan bukan sahaja kanak-kanak, malahan keselamatan keseluruhan ahli masyarakat dalam sesuatu kawasan yang dikawal oleh ahli rukun tetangga tersebut. Meskipun kebanyakan aktiviti rukun tetangga tidak memberikan apa-apa ganjaran dalam bentuk kewangan, namun kesannya amat besar dalam menjaga keselamatan penduduk setempat. Kerjasama semua anggota masyarakat dapat menjamin suasana kehidupan yang lebih harmonis.

Kejadian jenayah dalam apa-apa bentuk sekalipun perlu ditangani dengan segera. Bantuan orang ramai dengan memberikan maklumat kepada polis akan memudahkan penjenayah dikesan dan diambil tindakan yang sewajarnya. Undang-undang negara yang telah diperuntukkan sudah mencukupi untuk mengatasi masalah ini. Namun, undang-undang sahaja tidak dapat dilaksanakan sekiranya penjenayah tidak dapat ditangkap untuk diadili. Seharusnya, penjenayah yang melakukan kekejaman terhadap kanak-kanak yang tidak berdosa ini dihukum dengan sewajarnya.

ARTIKEL:PENCULIKAN KANAK KANAK

Remaja Malaysia bersama UNICEF untuk kempen A.S.A.P 4 Children


Para remaja berkempen untuk menjadikan kawasan Lembah Klang lebih selamat untuk kanak-kanak.

KUALA LUMPUR, 3 Mac 2008 – Satu pasukan dinamik yang terdiri daripada remaja-remaja Malaysia kini menggunakan bakat dan komitmen mereka dengan Tabung Kanak-kanak Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) untuk Kempen A.S.A.P. 4 Children yang membawa mesej-mesej keselamatan kanak-kanak di sekitar kawasan Lembah Klang.

Ia marupakan hasil pemikiran 31 orang pelajar semester ke-empat dari Kolej Taylor, Fakulti Kewartawanan, Pengiklanan, dan Hubungan Awam, iaitu “Abduction: Social Alert Project 4 Children” merupakan sabuah kempen yang telah diadakan selama sebulan setengah sebagai maklumbalas terhadap peningkatan kes-kes penculikan kanak-kanak yang telah memberi kejutan kepada negara ini.

“Kita telah memilih tema 'Penculikan Kanak-kanak' kerana terdapatnya peningkatan keganasan yang mendadak terhadap kanak-kanak di dalam masyarakat. Ibu bapa bukan sahaja merasa bimbang terhadap keselamatan anak-anak mereka, tetapi masyarakat secara keseluruhan amat bimbang dengan peningkatan keganasan di kawasan di mana kanak-kanak bermain dan tinggal,” kata pengurus kempen ini, iaitu Fareeza Ilyana, 20 tahun yang mengambil kursus hubungan awam.

Tidak lama dulu, mayat Nurin Jazlin yang telah didera, yang berumur lapan tahun telah ditemui di dalam sebuah beg. Gadis kecil yang cantik ini telah diculik kepada berjalan di sekitar pasar malam berdekatan dengan rumahnya. Nasib malang yang ditimpa Nurin ini bukanlah yang pertama, seperti yang telah terbukti tidak berapa lama selepas itu, dan bukannya yang terakhir dari beberapa siri penculikan kanak-kanak yang telah memberi kejutan di negara ini.

Pada awal bulan Januari 2008, seorang budak perempuan yang berumur enam tahun telah diculik berdekatan dengan rumahnya di Taman Medan setelah berjaya dipujuk dengan janji-janji untuk bermain dengan kucing dan burung oleh seorang lelaki yang bermotosikal. Tetapi dia bernasib baik, kerana dia telah dilepaskan tiga jam kemudian di kawasan Wangsa Maju. Namun begitu, Sharlinie Mohd Nashar pula yang telah diculik selepas itu dan kini masih hilang.

Wakil UNICEF Malaysia En. Youssouf Oomar mengalu-alukan inisiatif remaja ini sebagai maklumbalas yang amat berharga untuk mengatakan tidak kepada keganasan terhadap kanak-kanak.

“Kempen ini amat penting, terutama sekali kepada UNICEF dan kerja-kerja yang kami lakukan untuk kanak-kanak. Ia memang suatu yang membanggakan apabila golongan muda sendiri telah mengambil langkah untuk bersuara dan bertindak untuk program-program bagi diri mereka sendiri dan kanak-kanak,” terang En. Oomar. “Tidak ada yang lebih bermakna kepada UNICEF daripada melihat golongan muda melibatkan diri di dalam isu-isu yang memberi kesan kepada mereka.”.

Kempen A:S.A.P. 4 Children akan menggunakan sepenuhnya aktiviti-aktiviti yang interaktif dan seronok untuk mendidik kanak-kanak tentang keselamatan diri yang asas serta pada masa yang sama meningkatkan kesedaran dikalangan keluarga tentang kepentingan tahap keselamatan yang lebih tinggi untuk kanak-kanak. Aktiviti-aktiviti yang dijalankan oleh kempen ini termasuklah:

  • Buku cerita mewarna “Bahaya Orang yang Tidak Dikenali” (Stranger Danger) untuk mengajar kanak-kanak tentang keselamatan diri mereka. Buku ini akan diedarkan di pameran Smart Kids di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) dari 21 – 23 Mac 2008.
  • Program The Kindergarten Adoption akan membawa ‘roadshow’ keselamatan kanak-kanak di lima buah taman didikan kanak-kanak di daerah Petaling Jaya.
  • Blog rasmi A:S.A.P 4 Children (http://www.asap4children.blogspot.com/) adalah bertujuan untuk menggerakkan maklumbalas yang positif daripada orang ramai untuk menghentikan keganasan terhadap kanak-kanak di dalam masyarakat.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat dan Utusan Malaysia telah memberi sokongan kepada acara ini sehingga kini dengan menerbitkan 1,000 buah naskhah buku cerita mewarna tersebut secara percuma untuk diedarkan kepada orang ramai.

Fareeza yang amat bimbang dengan situasi ini percaya bahawa semua orang, termasuklah golongan muda mempunyai peranan yang boleh dimainkan di dalam menghentikan sikap tidak peduli terhadap keselamatan kanak-kanak yang mungkin masih wujud di dalam masyarakat masa kini.

“Kita tidak boleh mengambil ringan terhadap keselamatan kanak-kanak. Kita perlu mendidik orang ramai tentang amalan asas keselamatan kanak-kanak dengan segera.Ini termasuklah mengetahui di mana anak anda berada setiap masa, begitu juga dengan mereka yang berhubungan dengan anak anda,” tambah Fareeza.

CONTOH ESEI:GEJALA RASUAH

Rasuah dilihat semakin menjadi-jadi di kalangan masyarakat Malaysia kini. Ia dilihat sebagai masalah sosial yang semakin hari semakin parah. Setiap hari ada sahaja berita yang melaporkan tentang gejala rasuah ini. Perkataan rasuah berasal daripada perkataan Arab iaitu l-risywah. Di dalam al-Quran, rasuah digolongkan dalam kata umum batil, iaitu meliputi juga perkataan jenayah lain seperti merompak, menipu dan memeras ugut. Dalam al-Quran sendiri telah mendifinisikan perkataan rasuah ini adalah berkaitan dengan sesuatu yang tidak baik dan dilaknat.

Secara amnya, rasuah merupakan satu tindakan pemerasan yang dilakukan oleh seseorang dengan tujuan untuk mendapatkan pertolongan dan faedah bagi kepentingan dirinya sendiri. Ini kerana apabila melalui prosedur-prosedur biasa, dia tidak akan memperolehi kehendaknya itu. Ini bermaksud, kuasa yang telah diberikan kepadanya akan disalahgunakan dan bertindak untuk kebaikan diri sendiri. Mereka juga lebih cenderung bersikap pilih kasih dan bermuka-muka dalam setiap tindakan bagi mengelak daripada perbuatannya di ketahui umum.

Di Malaysia, dari segi undang-undang, segala perkataan yang membawa maksud kepada memberi dan menerima suapan adalah sebahagian daripada perbuatan dan kesalahan jenayah rasuah. Kes-kes rasuah biasanya membabitkan pihak-pihak yang mempunyai kuasa untuk menentukan atau meluluskan sesuatu perkara. Masalah rasuah di Malaysia sememangnya semakin menjadi-jadi. Banyak kes-kes dilaporkan yang membabitkan rasuah. International Transparency telah mendedahkan indeks persepsi rasuah global pada tahun 2009. Mengikut laporan berkenaan, kedudukan Malaysia adalah ditangga ke 56 berbanding 180 negara. Ini dapat membuktikan betapa parahnya masalah rasuah di negara kita.

Punca penglibatan

Terdapat pelbagai punca yang membolehkan seseorang cenderung untuk melakukan jenayah ini. Antaranya adalah disebabkan oleh individu itu sendiri. Maksudnya, individu yang mempunyai keperibadian yang lemah seperti kurangnya iman dan bersifat meterialistik. Secara logiknya, seseorang itu sememangnya mengetahui bahawa rasuah adalah dilarang oleh agama dan undang-undang, tetapi sanggup melakukannya dengan seribu satu alasan peribadi.. Sikap mahu hidup mewah, riak, menunjuk-nunjuk, tamak, ingin cepat kaya dan sebagainya adalah pendorong berlakunya rasuah bagi mereka yang lemah keperibadiannya.

Selain itu, rasuah ini disebabkan daripada kelemahan kepimpinan dalam sesebuah organisasi. Sesebuah organisasi seharusnya mempunyai pemimpin yang tegas, telus dan adil dalam menjalankankan segala operasi organisasinya. Ini bagi memastikan organisasi dapat menghindari masalah dalaman yang berpunca dari pucuk pimpinan itu sendiri. Kepimpinan yang lemah menyebabkan kurangnya penyeliaan, tiada pemantauan, lambat dalam menjalankan tugas dan terbuka kepada penyelewengan khususnya gejala rasuah ini

Rasuah juga berpunca daripada sosial dan budaya yang telah diterapkan dalam masyarakat Malaysia. Sebagai contoh, masyarakat majmuk di Malaysia sering mengamalkan tradisi memberi hadiah dalam bentuk wang dan benda, sempena menyambut hari-hari kebesaran hari perayaan, majlis hari jadi, hari perkahwinan dan sebagainya. Jadi, mereka yang memberi dan menerima rasuah akan merasakan kegiatan mereka adalah sesuatu perkara biasa atau perkara normal di mata masyarakat.

Disamping itu, arus permodenan yang berlaku kini juga menjadi antara penyebab utama gejala rasuah ini semakin berleluasa. Pembangunan sosial ekonomi yang tidak diseimbangkan dengan pembangunan kerohanian akan menyebabkan masyarakat memandang mudah terhadap masalah rasuah ini. Projek pembangunan bercambah seperti cendawan tumbuh. Pengaliran wang juga akan meningkat. Golongan yang terlibat mengambil kesempatan untuk mengaut keuntungan sebanyak-banyaknya. Contohnya adalah kontraktor- kontraktor sanggup melakukan jenayah rasuah ini bagi mendapatkan tender sesuatu projek.


Kesan penyalahgunaan rasuah

Rasuah sememangnya akan mendatangkan banyak masalah. Bukan sahaja terhadap individu yang melakukannya, bahkan kepada masyarakat sekeliling dan lebih parah apabila mula melibatkan negara kita. Kegiatan rasuah boleh melumpuhkan fungsi perjalanan sesuatu organisasi. Pentadbiran sesebuah negara juga boleh menjadi kucar-kacir. Akibatnya , ia boleh menimbulkan masalah lain seperti kemerosotan ekonomi, pengabaian kepentingan masyarakat dan sebagainya. Akhirnya boleh menghancurkan pentadbiran dan pemerintahan sesebuah negara. Contohnya, di Filipina yang mencatatkan sejarah kejatuhan kerajaan presiden Marcos dari tampuk kepimpinan disebabkan amalan rasuah yang tidak dapat dikawal lagi.


Langkah_langkah mengatasi

Melihat kepada akibat daripada amalan rasuah ini, langkah-langkah membanteras perlu dilakukan dengan tegas dan konsisten. Semua pihak harus bekerjasama bagi menjayakan langkah pencegahan ini. Antaranya adalah dengan komitment masyarakat. Masyarakat perlu peka terhadap masalah rasuah yang berlaku di negara ini. Masyarakat perlu ada jatidiri yang kuat untuk menghindarkan diri dari melakukan rasuah. Selain itu, Peranan ibubapa dalam didikan agama dan moral tentang keburukan terhadap perlakuan rasuah perlu diterapkan ke dalam diri anak-anak sejak kecil lagi supaya gejala rasuah ini tidak wujud dalam generasi akan datang.

Kerajaan juga memperlihatkan kesungguhan untuk membanteras gejala rasuah ini. Kerajaan telah mewujudkan sebuah badan untuk membanteras masalah rasuah ini yang dikenali sebagai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia(SPRM) bagi membuat siasatan yang lebih mendalam atau membanteras masalah ini hingga ke akar umbi. Kerajaan juga telah meningkatkan penguatkuasaan undang-undang dan hukuman bagi sesiapa yang terlibat dalam rasuah ini. Siasatan dan penguatkuasaan undang-undang perlu dipergiatkan lagi agar masyarakat sedar betapa bahaya dan serius masalah rasuah jika tidak dibenteras dan dibendung untuk keselamatan negara.


Kesimpulan

Kesimpulannya, masyarakat perlu sedar akan bahaya serangan penyakit sosial yang telah melanda dunia sejak sekian lama ini. Malah penularan penyakit ini dilihat semakin menjadi-jadi dinegara kita. Tanpa sedar, masalah ini boleh menyebabkan negara menjadi huru-hara dan timbul banyak masalah. Oleh itu, semua pihak harus bekerjasama dalam membanteras masalah ini supaya dapat memupuk masyarakat yang lebih bertanggungjawab, amanah dan ikhlas. Akhirnya, kita dapat membentuk generasi akan datang yang bebas daripada rasuah.

ISU SEMASA:Wabak Acute Gastroenteritis (AGE)

Wabak Acute Gastroenteritis (AGE)
Sebanyak 2,236 kes dengan dua kematian dilaporkan berlaku akibat cirit-birit atau wabak acute gastroenteritis (AGE) yang menyerang daerah Hilir Perak dan Batang Padang dalam tempoh dua minggu lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan dan Hal Ehwal Bukan Islam negeri, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, kedua-dua kes kematian itu berlaku di daerah Hilir Perak yang melibatkan bayi berusia 10 bulan dan dua bulan.
Katanya, daerah tersebut juga mencatatkan kes tertinggi iaitu sebanyak 1,397 kes dan selebihnya di Batang Padang khususnya di Tapah dan Bidor.
Katanya sehingga semalam, seramai 19 pesakit AGE dari Hilir Perak masih dirawat di Hospital Teluk Intan dan tujuh orang dari Batang Padang dirawat di Hospital Tapah. Keadaan mereka kini dilaporkan stabil. Kematian dipercayai berpunca daripada renjatan akibat kekurangan air dalam badan.
Menurut Hang Soon, berdasarkan kajian yang dijalankan, hampir separuh daripada kes tersebut melibatkan kanak-kanak berusia 12 tahun ke bawah.
Ujian makmal yang dijalankan ke atas pesakit menerusi pengambilan sampel najis bagi menguji kehadiran virus dan bakteria pula mendapati hampir semua virus tidak mengandungi bakteria tetapi 18 daripada 39 sampel yang diuji mengandungi Rotavirus.
Beliau berkata, Jabatan Kesihatan negeri memandang serius wabak itu dan telah mengambil langkah-langkah pencegahan dan pengawalan yang berterusan untuk memastikan kes cirit-birit tersebut dapat dibendung.
Antara langkah pencegahan termasuklah melakukan pemeriksaan di premis menjual makanan dan minuman di sekitar daerah berkenaan, mengadakan pendidikan kesihatan melalui risalah dan poster selain pemantauan berterusan kualiti air minuman bersama Lembaga Air Perak (LAP).
Dia ingin menjelaskan, walaupun mempunyai simptom jangkitan yang sama iaitu cirit-birit, wabak AGE tidak sama dengan wabak kolera.
Hang Soon turut menasihatkan orang ramai supaya mengutamakan kebersihan khususnya dalam penyediaan makanan sebagai langkah pencegahan. Selain itu, bagi individu yang mengalami simptom seperti cirit-birit, muntah, sakit perut dan sakit kepala diminta segera mendapatkan pemeriksaan dan rawatan di hospital.
Beliau turut meminta orang ramai supaya tidak berasa panik kerana penularan wabak tersebut masih berada pada tahap terkawal.
Sumber: Berita Harian

CONTOH ESEI:JENAYAH SIBER

Dunia yang semakin maju pada hari ini menuntut bidang terknologi turut berkembang. Internet mejadi suatu kemestian dalam kehidupan masyarakat moden. Pelbagai faedah boleh diperoleh daripada penggunaan internet. Sebagai contoh, pelbagai maklumat, informasi dan berita dapat diperoleh dengan melayari internet. Sesuatu maklumat itu bukan sahaja boleh diperoleh dalam beberapa saat sahaja malah hanya dengan sekali klik. Bagaimanapun, disebalik manfaat internet ini masih terdapat sesetengah pihak menjadikan internet sebagai medan untuk melakukan jenayah. Perbuatan jenayah di alam maya ini dikenali sebagai jenayah siber.

Penipuan merupakan salah satu jenayah siber. Penipuan di alam maya berlaku apabila seseorang memalsukan atau menciplak sesuatu maklumat tertentu. Misalnya, terdapat pihak – pihak yang mengambil kesempatan dengan menciplak laman web perbankan. Penipuan siber ini cukup mudah kerana hanya memerlukan internet dan perisian pelayar sahaja. Oleh itu, tidak hairanlah penipuan melalui internet ini boleh mencecah jutaan ringgit nilainya.

Selain itu, perjudian secara maya juga merupakan satu jenayah. Tidak seperti perjudian yang biasa, perjudian secara maya menjadi jenayah siber kerana tidak berdaftar. Apabila hal ini terjadi maka risiko hilang wang pertaruhan dan penipuan adalah tinggi.

Kecurian maklumat, lebih- lebih lagi maklumat peribadi boleh terjadi di alam siber. Hal ini boleh menyebabkan seseorang itu terdedah kepada bahaya. Kes kecurian maklumat seperti ini terjadi apabila pengguna internet tidak berhati – hati dengan maklumat peribadi mereka.

Salinan data secara tidak sah kerap berlaku dalam alam maya. Apabila sesuatu itu dilakukan secara tidak sah maka secara automatiknya perbuatan ini diklasifikasikan sebagai jenayah. Kebenaran bagi menyalin data daripada sumber internet adalah perlu dari segi undang – undang. Sekiranya tiada kebenaran yang diperoleh, maka perbuatan ini dianggap sebagai jenayah kerana menyalin data tanpa kebenaran.

Pornografi turut dikelaskan sebagai jenayah siber. Malah, sebarang perbuatan pornografi adalah dilarang dan melaggar undang – undang. Hal ini disebabkan pornografi tidak sesuai dengan masyarakat dan budaya Timur. Pornografi siber berlaku apabila foto – foto yang melampau seperti gambar bogel dimasukkan dalam internet untuk paparan umum. Walaupun pemilik foto meletakkan gambar tersebut dengan kerelaan hati namun tindakan ini tetap dianggap jenayah. Bagaimanapun, dalam sesetengah kes foto – foto pornografi ini dimasukkan tanpa pengetahuan pemiliknya. Oleh itu, timbul pula isu penganiayaan.

Pengintipan berlaku apabila hak peribadi seseorang diceroboh dan perbuatan ini dilakukan tanpa pengetahuan orang yang diintip. Pengintipan siber boleh dilakukan dengan alat berteknologi tinggi. Kebiasaannya, pengintip adalah seorang yang professional dan mahir dengan alat berteknologi canggih seperti kamera litar tertutup.

Bagi mendapatkan talian internet atau memasuki sesuatu sistem, kadang – kala seseorang itu sanggup mendapatkan capaian yang tidak sah. Hal ini terjadi apabila seseorang itu cuba memasuki sistem tanpa megikut prosedur yang ditetapkan. Kebiasaannya, system seperti ini telah dipaten dan sah dari segi undang – undang. Oleh itu, sebarang perbuatan mendapatkan capaian secara tidak sah adalah salah di sisi undang – undang.

Mengganggu atau merosakkan sesuatu sistem juga merupakan jenyah siber. Hal ini disebabkan perbuatan seumpama ini dianggap penganiayaan atau sabotaj terhadap sistem yang sah. Gangguan atau kerosakan sistem akan menhakibatkan sistem tersebut lumpuh dan seterusnya gagal untuk berfungsi.

Skim cepat kaya juga wujud secara maya. Skim seperti ini sangat licik dalam menipu orang ramai. Tawaran hebat dan menarik menjadi aset untuk menarik perhatian orang ramai. Oleh yang demikian, skim ini dianggap jenayah siber.
Penyebaran virus merupakan jenayah siber yang paling terkenal. Hal ini disebabkan penyebaran virus dalam internet kerap berlaku. Pelbagai cara diambil bagi mengatasi masalah ini seperti memperbaharui anti - virus. Bagaimanapun, penyebaran virus juga sentiasa ada yang terbaru.

Di samping itu, penggodam juga merupakan jenayah siber yang sangat terkenal dikalangan pengguna internet. Menggodam adalah memasuki sesuatu sistem tanpa melalui kod keselamatan. Perbuatan ini hanya boleh dilakukan oleh seseorang yang mahir dan pakar tentang komputer dan internet kerana bukan mudah untuk menggodam sesuatu sistem. Perbuatan ini boleh menjadi sesuatu yang bahaya kerana penggodam bukan sahaja boleh mengetahui maklumat sulit sesebuah syarikat malah maklumat sulit orang perseorangan.

Kesimpulannya, jenayah siber juga merupakan masalah sosial kerana berkaitan dengan tingkah laku manusia. Bagaimanapun, perbuatan ini sukar dibendung kerana kesukaran mengenal pasti penjenayahnya. Sungguhpun begitu, usaha kerajaan dalam mengekang perbuatan ini dapat dilihat dengan penguatkuasaan undang – undang seperti Akta Percetakan, Akhbar dan Penerbitan 1984.

KERATAN AKHBAR:JENAYAH SIBER

Perkongsian Maklumat Kukuhkan Pertahanan Siber Malaysia

                         

Perkongsian Maklumat Kukuhkan Pertahanan Siber Malaysia
KUALA LUMPUR -- Dekad ini seluruh dunia berlumba-lumba memiliki senjata terhebat dan tentera terbaik dalam memastikan keselamatan negara terjamin.

Bagaimanapun dalam era perkembangan pesat teknologi siber dewasa ini, senjata terhebat dan tentera terbaik masih belum mampu memastikan sesebuah negara itu kebal daripada serangan penjenayah siber.

Mahu atau tidak mahu, kerjasama antara negara adalah perlu bagi mengekang perbuatan dangkal penjenayah siber dan satu daripada bentuk kerjasama paling penting ialah perkongsian maklumat antara negara-negara di dunia.

'Jika berkongsi tentu maklumat bocor dan diketahui orang lain,' adalah persepsi biasa orang ramai berhubung perkongsian maklumat ini tetapi pendapat pakar teknologi maklumat adalah sebaliknya.

Dekan Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM) Universiti Putra Malaysia (UPM) Prof Dr Ramlan Mahmod berkata, perkongsian itu penting kerana bilangan negara yang kecil menghadkan maklumat diperoleh bagi pencarian dan pengesanan penjenayah siber.

MENGUKUHKAN PERTAHANAN SIBER

"Asasnya adalah pertahanan siber sama seperti pertahanan ketenteraan, melibatkan banyak aspek pengoperasian seperti pencegahan, pertahanan, pengesanan, pengintipan dan penyerangan," katanya dalam satu temubual eksklusif.

Beliau berkata pertahanan siber adalah satu sistem tersendiri yang berfungsi sama dengan pertahanan ketenteraan bezanya ia di dunia siber dan seperti pertahanan kententeraan, kerjasama atau 'alliance' antara negara penting dalam mengukuhkan pertahanan siber negara itu.

Penubuhan Global Cyber Security Alliance (GCSA) diumumkan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Seri Dr Maximus Ongkili pada 23 Ogos lepas adalah langkah bijak kerajaan dalam mengukuhkan pertahan siber Malaysia.

"Seperti dilaporkan dalam akhbar matlamat GCSA ialah mengukuhkan keselamatan siber bagi mengekang ancaman penggodam melalui perkongsian maklumat di kalangan negara anggota," katanya.

Dr Ramlan berkata dengan kerjasama itu keselamatan siber dalam kalangan negara anggota dapat dipertingkatkan dan seterusnya dapat mencegah jenayah itu 'berjangkit' antara negara anggota.

ENAM IMPAK GCSA

Pengukuhan pertahanan siber negara adalah impak pertama daripada enam impak penubuhan GCSA dan impak kedua, lebih banyak operasi penguatkuasaan undang-undang berkaitan jenayah siber diadakan dalam kalangan negara anggota.

Beliau berkata impak ketiga ialah perkongsian 'good practice' dan maklumat berkaitan teknik dan metodologi baru dalam mencegah jenayah siber.

Dr Ramlan berkata penubuhan GCSA juga mampu meningkatkan kecekapan, kepantasan dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang melibatkan negara luar yang memerlukan kerja forensik digital, iaitu impak keempat.

"Dalam kes tertentu bahan bukti digital mungkin perlu diperoleh daripada negara luar maka kerjasama dari kalangan negara anggota mahupun bukan anggota adalah penting," katanya.

Beliau berkata impak kelima peningkatan kesedaran dan pemahaman tentang kesan jenayah siber dalam kalangan semua lapisan masyarakat termasuk organisasi kerajaan dan syarikat perniagaan.

Katanya impak keenam memberikan amaran atau melakukan tindakan yang bersesuaian kepada negara dikenalpasti menjadi sumber kepada jenayah siber.

KERJASAMA LEBIH MELUAS

Dr Ramlan berpendapat GCSA perlu mengadakan kerjasama dengan organisasi yang mempunyai matlamat sama seperti The International Cyber Security Alliance (ICSPA) bagi memperluas usaha membanteras jenayah siber secara global.

"Saya mencadangkan kerjasama ini kerana kedua-duanya mempunyai matlamat sama meningkatkan keselamatan siber dan kerjasama itu mampu mengiatkan usaha perkongsian ilmu dan kepakaran ICT di kalangan anggota GCSA dan ICSPA," katanya.

Beliau berkata perkongsian ilmu dan kepakaran itu memainkan peranan penting sebagai pemangkin memajukan sektor ICT dalam kalangan negara anggota khususnya Malaysia.

Katanya, ICSPA yang ditubuhkan pada 5 Julai tahun ini dianggotai lebih 20 negara Eropah, Amerika Syarikat dan organisasi perniagaan seluruh dunia.

"Jenayah siber adalah masalah global maka usaha harus dibuat untuk membuka keanggotaan kepada seberapa banyak mungkin negara di dunia ini sama ada negara maju seperti Amerika Syarikat atau negara Eropah mahupun negara membangun," katanya.

TIADA KEBOCORAN MAKLUMAT

Pensyarah Fakulti Teknologi dan Sains Maklumat Universiti Kebangsaan Malaysia Prof Dr Aziz Deraman berkata kebocoran maklumat seperti dibimbangi orang ramai tidak seharusnya berlaku antara anggota GCSA.

"Ini kerana perkongsian maklumat biasanya diasaskan berdasarkan perjanjian atau etika tertentu. Maklumat keselamatan yang dikongsi pula biasanya bertumpu kepada maklumat penjenayah siber. Data biasanya tidak melibatkan data negara tertentu," katanya.

Beliau berkata GCSA sememangnya memperoleh faedah sekiranya disertai negara maju bagaimanapun Malaysia perlu menerajui GCSA dan kawalan GCSA perlu berada di tangan Malaysia.

Katanya dalam pembangunan produk ICT, GCSA mampu menjadi satu agensi jaminan kualiti produk yang dihasilkan Malaysia khususnya berkaitan keselamatan data dan perisian.

Pensyarah FSKTM UPM Prof Madya Dr S Shamala berkata GCSA mampu memberi perlindungan kepada individu yang menggunakan jaringan komputer pada tahap amat menyeluruh dengan perkongsian maklumat antara negara anggotanya.

"Ini boleh diterangkan dengan telefon bimbit, dulu bila kad prepaid tidak didaftar kita ada banyak masalah, bila kerajaan menguatkuasakan pendaftaran kita dapat mengesan dengan mudah siapa menyalahguna perkhidmatan itu, pendaftaran itu satu bentuk perkongsian maklumat keselamatan," katanya.