Kita sering melihat kesan pencemaran alam yang
banyak berlaku pada masa ini. Keadaan ini sudah berubah jika dibandingkan dengan
suatu masa dahulu iaitu udaranya lebih nyaman serta keadaan cuaca yang tidak
terlalu panas. Perkara ini membolehkan manusia menjalani kehidupan dengan
selesa. Walau bagaimanapun, keadaan bumi pada masa kini yang terlalu panas telah
memberikan kesan negatif kepada kehidupan manusia dan juga alam sekitar. Hal ini
diibaratkan seperti manusia hidup di dalam balang kaca yang panas. Oleh hal yang
demikian, masyarakat seharusnya tahu punca-punca yang menyebabkan pemanasan
global ini berlaku agar dapat mencari ikhtiar untuk menaganinya.
Terdapat banyak punca yang menyebabkan
pemanasan global, antaranya perkara itu disebabkan oleh aktiviti manusia yang
tidak terkawal di dunia ini. Hal ini demikian kerana, perkara yang sering kita
lihat yang melibatkan aktiviti manusia seperti penerokaan hutan dan pertanian
pindah. Mereka membakar kawasan yang telah dijadikan kawasan pertanian untuk
dijadikan sebagai baja organik dan mereka membuka pula pertanian baharu di
kawasan lain untuk mendapatkan hasil pertanian yang lebih banyak. Namun begitu,
secara tidak langsung pembakaran tersebut telah menyebabkan haba terperangkap di
udara dan akhirnya menyebabkan suhu semakin panas.
Selain itu, faktor lain yang menyebabkan
berlakunya pemanasan global ialah pembebasan gas-gas yang berbahaya secara tidak
terkawal. Menurut data yang dikeluarkan oleh Bank Dunia, Amerika Syarikat telah
disenaraikan sebagai pengeluar gas karbon dioksida terbesar dunia dengan jumlah
60005 tan. Peningkatan gas karbon dioksida di atmosfera merupakan penyebab utama
pemanasan global yang terhasil daripada pembakaran bahan api fosil, penggunaan
minyak petrol dan pembakaran arang batu. Oleh hal yang demikian, pihak yang
terlibat secara langsung dalam kes tersebut wajar melakukan anjakan paradigma
dan menyembuhkan luka yang dialami oleh bumi ini. Masyarakat juga harus
mengatasi masalah ini sebelum ‘nasi menjadi bubur’.
Di samping itu, kegiatan perindustrian
turut menjadi faktor pemanasan global berlaku. Hal ini demikian kerana, kegiatan
perindustrian yang pesat membangun akan menghasilkan gas-gas berbahaya seperti
karbon monoksida. Para saintis di Amerika Syarikat telah membuat ramalan bahawa
peningkatan suhu bumi akan berlaku sebanyak 45 darjah celcius menjelang tahun
2030. Oleh itu, masyarakat janganlah mengamalkan peribahasa “Bagai enau
dalam belukar melepaskan pucuk masing-masing”. Oleh hal yang demikian,
mereka seharusnya mencegah perkara-perkara negatif sebelum berlaku selaras
dengan pepatah, ‘mencegah lebih baik daripada mengubati’.
Pembakaran terbuka juga menjadi punca
berlakunya pemanasan global di muka bumi kita ini. Banyak pembakaran terbuka
yang telah dilakukan oleh individu yang tidak bertanggungjawab. Kesan daripada
kegiatan tersebut menyebabkan gas karbon dioksida terhasil serta terbebas di
udara dan seterusnya memerangkap haba. Oleh hal yang demikian, pihak kerajaan
seharusnya memperketat undang-undang agar mereka tidak berani membuat sebarang
kesalahan di muka bumi ini. Rentetan daripada perkara itu, masalah jerebu yang
sering melanda dunia juga akan berkurangan. Kita seharusnya sesal dahulu
pendapatan, sesal kemudian tidak berguna, iaitu sebelum keadaan bumi kita
ini menjadi lebih melarat lagi.
Namun begitu, masih terdapat faktor lain
yang menjadi penyebab kepada pemanasan global seperti pembinaan bangunan
pencakar langit. Di bandar besar seperti Kuala Lumpur, bangunan-bangunan tinggi
yang tersergam indah itu juga sebenarnya memberikan impak negatif kepada muka
bumi kita ini. Hal ini demikian kerana, pantulan daripada matahari yang
menembusi cermin bangunan boleh menyebabkan haba terperap di kawasan atmosfera.
Dengan cara ini, masyarakat seharusnya janganlah mengambil mudah seperti
melepaskan batuk di tangga, dengan mengejar segala arus pembangunan tetapi
menyebabkan kesan negatif kepada hidupan lain. Maka, jelaslah bahawa
ketidakseimbangan manusia mengeksploitasi khazanah bumi merupakan faktor
berlakunya pemanasan global.
Kesimpulannya, nilai kemanusiaan yang
semakin menipis, iaitu senipis kulit bawang ini merupakan faktor tercetusnya
pemanasan global di muka bumi ini. Sehubungan dengan itu, setiap individu dan
insan di dunia ini perlu memupuk semangat cinta akan alam sekitar agar bumi yang
sedang sakit ini dapat dipulihkan semula. Diharapkan agar fenomena pemanasan
global yang sedang melanda dunia sekarang ini akan berakhir dengan segera agar
keselamatan dan kesejahteraan hidup makhluk di dunia ini akan berkekalan. Pihak
kerajaan pula perlulah lebih peka terhadap masalah global yang semakin bernanah
ini malah perlu menguatkuasakan undang-undang yang lebih tegas agar masyarakat
lebih prihatin dengan nasib bumi ini. Oleh itu, Mahatma Gandhi pernah berkata,
“kita tidak mewarisi alam ini daripada datuk nenek kita, tetapi kita meminjamnya
daripada anak cucu kita”.
NOTA:Hanya sesuai untuk mendapatkan isi-isi penting tetapi kurang sesuai untuk esei PA
No comments:
Post a Comment