KEMAKMURAN dan mudahnya meraih kekayaan   punca warga asing mengambil kesempatan untuk terus tinggal di Malaysia. KEMAKMURAN dan mudahnya meraih kekayaan punca warga asing mengambil kesempatan untuk terus tinggal di Malaysia.
Lambakan warga asing kian meresahkan rakyat tempatan selain soal kebimbangan terhadap ancaman serta membebankan negara

MENEMPATKAN pekerja asing khususnya dalam sektor pembinaan, pembuatan, perkhidmatan dan pembantu rumah masih menjadi keperluan majikan di negara ini bagi melicinkan operasi perjalanan sektor terbabit. Kebergantungan negara kepada tenaga kerja warga asing sehingga Februari lalu dalam pelbagai sektor dianggarkan berjumlah 1.8 juta orang.

Secara keseluruhan, seramai 26.1 juta warga asing memasuki negara ini termasuk status sebagai pelancong, pekerja, diplomat, pemegang pas pekerja jangka pendek, pemastautin, pelajar dan pemegang kad Suruhanjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Mengenai Pelarian (UNHCR). Daripada jumlah itu, 2.4 juta adalah warga asing lain yang tinggal untuk tempoh jangka panjang.
Seberapa banyak jumlah statistik yang dicatatkan setiap tahun mengenai kehadiran pendatang asing itu sama ada yang bekerja atau melancong, tetap memberikan implikasi positif dan negatif terhadap Malaysia. Cuma, apabila kelonggaran kerajaan terhadap kebenaran kemasukan rakyat asing ke negara ini khususnya bagi tujuan bekerja, ada pula kalangan mereka yang mengambil kesempatan terus tinggal selesa di sini berikutan kemakmuran dan mudahnya meraih kekayaan.

Justeru, ramai juga pendatang yang sanggup bergadai nyawa untuk tinggal secara haram dan terus bekerja di sini sehingga jumlahnya amat ramai dan akhirnya menimbulkan keresahan warga tempatan selain soal kebimbangan, ancaman serta membebankan negara.

Mereka turut dikaitkan dengan bebanan ekonomi kepada negara dan pencabulan hak asasi manusia jika tindakan diambil sewenang-wenangnya.

Apa yang jelas, kemasukan pekerja asing juga boleh mendatangkan implikasi negatif kepada negara seperti ancaman keselamatan, bebanan ekonomi dan pencabulan hak asasi manusia. Justeru, dalam mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Pekerja Asing dan Pendatang Tanpa Izin yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 22 Februari lalu memutuskan untuk menubuhkan Makmal Pengurusan Warga Asing. Ia bertujuan mencari kaedah penyelesaian secara holistik untuk menangani isu berhubung warga asing di Malaysia khususnya mengelakkan lambakan pendatang asing tanpa izin daripada terus berleluasa.

Susulan itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Sumber Manusia akan terus bekerjasama dalam isu berkaitan isu pendatang asing dan pendatang asing tanpa izin.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein, ketika mesyuarat khas Pengurusan Warga Asing Peringkat Menteri, kelmarin optimis mahu isu pendatang asing dan pendatang asing tanpa izin di negara ini dapat ditangani dengan lebih berkesan untuk mengelak kesan jangka panjang kepada negara.

Katanya, lazimnya, kehadiran warga asing khususnya pelancong, pelajar dan pekerja asing hanya dilihat dalam konteks manfaat ekonomi yang diperoleh negara semata-mata, sebaliknya juga memberi implikasi negatif lain.

Kerajaan juga terus berusaha untuk memastikan permasalahan berkaitan pekerja asing khususnya yang tinggal secara haram dapat ditangani dengan efektif. Permasalahan lain, umpamanya isu pencabulan hak asasi manusia seperti aspek kebajikan dan layanan kepada pekerja asing yang berada di negara ini perlu juga diberi perhatian selain mengatasi pemerdagangan orang.

“Dalam hal ini, kerajaan memutuskan mengambil tindakan serta-merta memeriksa ke premis majikan yang mengaji pekerja asing di sektor terbabit untuk memastikan majikan menjaga kebajikan dari aspek pembayaran gaji, tempat tinggal, kesihatan dan persekitaran tempat kerja.

“Pada masa sama, majikan juga perlu mematuhi standard perburuhan dan langkah perlindungan di dasar dan undang-undang buruh. Pemeriksaan itu akan membabitkan Jabatan Tenaga Kerja (JTK), polis, Jabatan Imigresen dan pihak berkuasa tempatan (PBT),” katanya.

Mengenai makmal Pengurusan Warga Asing, Hishamuddin berkata, pelaksanaannya bermula 23 Mac ini hingga 23 April depan di KDN membabitkan kerjasama 14 kementerian dan 11 jabatan serta agensi.

“Kita juga mengenal pasti 33 organisasi dan pertubuhan untuk menyertai makmal itu sebagai ‘syndication partner’,” katanya sambil mempelawa semua pihak mempunyai kepentingan dalam isu warga asing dijemput menawarkan diri menyertai makmal itu.

“Saya yakin penubuhan makmal itu yang dianggotai setiap kementerian dan agensi kerajaan dengan pengurusan warga asing, mampu menjadi platform bagi mencari strategi penambahbaikan serta memperhalusi tanggungjawab masing-masing dengan lebih berkesan dan tersusun,” katanya.

Pada masa sama, kerajaan pada peringkat akhir kajian berkaitan pelaksanaan pindaan Akta Pemerdagangan Orang 2007 (Atip) untuk memasukkan elemen penyeludupan manusia dan sekali gus dapat melengkapkan Pelan Tindakan Nasional berkenaan.

Maklum balas Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mengenai langkah terbaru itu, menyifatkan tindakan itu bagus untuk memastikan isu majikan dan pekerja asing diletakkan di landasan betul.

Bagaimanapun, MEF mencadangkan supaya kerajaan memberikan fokus lebih khusus untuk menangani pelbagai isu berkaitan permasalahan warga asing terutama berkaitan dengan kebanjiran pekerja asing tanpa izin daripada membuat pemeriksaan di semua premis untuk mengesan majikan menjaga kebajikan pekerja asing.

MEF berpendapat, tugas pemeriksaan terhadap premis yang menggaji pekerja asing untuk memastikan majikan mematuhi terma termasuk persekitaran kesihatan di tempat kerja sudah mencukupi jika dilakukan oleh JTK.

Gerakan penguatkuasaan bersepadu membabitkan agensi lain seperti polis, Jabatan Imigresen dan PBT dianggap kurang sesuai hanya untuk memeriksa majikan mematuhi prosedur atau sebaliknya.

Adalah lebih bermanfaat sekiranya gerakan penguatkuasaan bersepadu membabitkan pelbagai agensi dilakukan untuk mengesan isu lebih berat membabitkan pendatang asing.

Ketua Eksekutifnya, Shamsuddin Bardan, berkata, pihaknya berpendapat fokus utama negara sekarang adalah untuk menangani pekerja asing tanpa izin, memperketatkan pemantauan kemasukan pekerja asing, memeriksa pekerja asing yang sudah tamat tempoh, tetapi tinggal lama lama secara haram.

Katanya, semua permasalahan isu di atas sebenarnya yang mengheret segala punca membabitkan pekerja asing seperti terbabit dengan jenayah, pemerdagangan orang, keruntuhan moral mereka dan majikan mengambil kesempatan ke atas pekerja.

“Jika ingin melihat sama ada majikan tidak bayar gaji atau gagal patuhi terma lain, tidak perlu babitkan operasi bersepadu kerana itu adalah di bawah bidang kuasa JTK.

“Saya bimbang operasi membabitkan pelbagai agensi itu tidak akan mencapai matlamatnya. Bagi saya operasi dengan agensi lain itu lebih sesuai dilakukan bagi misi memeriksa kebanjiran pekerja asing tanpa izin,” katanya.

Malah, operasi besar-besaran membabitkan pelbagai agensi itu perlu dilakukan secara agresif dan berterusan, bukannya mengikut musim.

Sementara itu, Setiausaha Kerja Ahli Majlis Pengguna Negara, Datuk Nadzim Johan, mahu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta agensi berkaitan melaksanakan penguatkuasaan dengan lebih aktif untuk mengesan majikan yang menggunakan taktik pemakaian tudung atau songkok kepada pekerja asing berkhidmat di sektor perkhidmatan seperti di restoran dan kedai kopi untuk memberi keyakinan bahawa premis mereka halal.

Katanya, tindakan majikan itu sah tidak bertanggungjawab untuk mengelirukan orang ramai khususnya orang Islam bahawa premis mereka ditanggung halal selain meletakkan sijil halal yang ada kalanya tidak diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).

“Kita mahu kerajaan menguatkuasakan Akta Perihal Dagangan (Perbahasaan Halal) yang boleh mensabitkan terhadap majikan yang mengambil kesempatan mengabui mata masyarakat terhadap istilah halal itu,” katanya.