Saturday, 4 August 2012

MAKLUMAT TAMBAHAN:PATI

PENDATANG ASING TANPA IZIN



Kini, negara Malaysia sedang mengalami kemelut ekoran kedatangan pendatang asing tanpa izin (PATI) yang semakin ramai. PATI telah memilih Malaysia sebagai tempat tumpuan mereka untuk mencari rezeki dan jalan penyelesaian bagi mengubah kehidupan dengan berhijrah dari negara mereka sendiri. Menurut kamus dewan edisi keempat, pendatang asing tanpa izin (PATI) dapat didefinisikan sebagai orang yang bukan warganegara Malaysia tetapi telah masuk ke Malaysia sama ada secara pendaftaran mahupun secara haram. Kebanyakan PATI yang datang ke Malaysia ialah orang yang datang dari negara luar seperti Myanmar, India , Indonesia dan sebagainya.

Kedatangan pendatang asing juga mendatangkan masalah perumahan. Mereka akan mendirikan kawasan perumahan secara haram. Sesetengah kumpulan pendatang asing ini pula membuka kawasan hutan sebagai kawasan perumahan mereka. Kawasan setinggan ini tidak teratur dan kekurangan kemudahan asas, seperti sistem pembuangan sampah dan air kumbahan. Oleh itu, pencemaran alam sekitar akan berlaku. Selain itu, pembangunan negara pada masa akan datang juga terbantut. Imej negara kita juga terjejas kerana ini menggambarkan kelemahan pentadbiran kerajaan serta pengagihan ekonomi yang tidak seimbang.

Kebanjiran pendatang asing tanpa izin juga turut menyebabkan peluang pekerjaan dalam pelbagai sektor khususnya sektor pembuatan dimonopoli oleh pendatang tersebut. Tidak dinafikan migrasi pendatang asing ini ke negara kita adalah berpunca daripada kurang peluang pekerjaan di negara mereka. Kesanggupan mereka untuk bekerja di negara ini terbukti apabila banyak sektor pembinaan yang menawarkan mereka pekerjaan sebagai buruh binaan yang memenatkan. Walaupun begitu, seperti kata peribahasa, "Alah bisa tegal biasa", kesusahan tersebut tidak menghalang mereka untuk terus bekerja, tidak sama seperti rakyat negara ini yang tidak tahan dengan pekerjaan berat tersebut.

Penyakit-penyakit berbahaya juga akan merebak dengan meluas. Buruh asing yang sah akan dikenakan pemeriksaan kesihatan. Sebaliknya, pendatang asing tanpa izin tidak berbuat demikian. Banyak antara mereka berasal dari kawasan mundur di negara asal mereka. Kesihatan mereka kurang terjamin. Ada antara mereka menghidap AIDS, tibi, penyakit kelamin, dan sebagainya. Akibatnya, rakyat kita menjadi mangsa. Statistik telah menunjukkan bilangan rakyat yang menghidap penyakit tibi meningkat semula.

Salah satu langkah utama menangani kedatangan pendatang asing ialah mengehadkan pergantungan kepada buruh asing. Melalui kaedah baru pengambilan pekerja asing dalam sektor-sektor tertentu mengikut negara sumber yang diluluskan kerajaan, kita berharap selepas ini pihak berkuasa akan mampu memantau kehadiran dan pergerakan warga asing di negara ini. Jelasnya, pihak ejen dan majikan yang mengambil pekerja asing perlu memenuhi syarat-syarat yang ditetapkan oleh kerajaan. Tanggungjawab mereka adalah untuk mengingatkan para pekerja asing di bawah jagaan mereka tentang sistem budaya bermasyarakat dan mematuhi undang-undang negara ini kerana di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung.

Masalah yang turut melibatkan hubungan antara dua negara ini seharusnya diselesaikan secara diplomatik antara kedua-duanya, misalnya negara Indonesia perlu menyokong dan mempersetujui tindakan kerajaan Malaysia untuk menghantar sebilangan besar rakyat negara tersebut yang tidak memiliki permit pekerjaan yang sah di negara ini tanpa mengenakan tindakan berat kepada mereka. Negara Indonesia juga perlu menerima keputusan jika Malaysia terpaksa mengenakan hukuman kepada sebahagian rakyat negara jiran yang berkeras untuk tidak menyerah diri pada tarikh yang ditetapkan. Kerjasama antara kedua-dua pihak ini pasti akan mengurangkan masalah kebanjiran pendatang asing tanpa izin ke negara ini, seterusnya hubungan diplomatik antara kedua-dua buah negara juga tidak akan terjejas.

Pelbagai usaha dan tindakan tegas telah diambil oleh pihak berkuasa, misalnya pihak imigresen yang mengetatkan pengawasan di sempadan negara dan tidak kurang juga tindakan kerajaan untuk mengembalikan sebilangan besar pendatang asing yang tiada permit ke negara mereka. Ekoran daripada tindakan tersebut, usaha pendatang asing tanpa izin yang berniat untuk datang ke negara ini dapat dibanteras. Oleh hal yang demikian, usaha itu haruslah diteruskan agar keamanan dapat dikekalkan di negara kita.

Kesimpulannya, kita memang memerlukan tenaga asing dalam pembangunan negara. Namun kehadiran mereka, terutamanya golongan tanpa izin, juga menimbulkan masalah. Kerajaan perlu menangani masalah ini dengan serius supaya rakyat kita tidak menjadi minoriti di tanah airnya sendiri. Masalah ini sudah tentu akan menjadi lebih serius jika tidak ditangani segera. Selain itu kerjasama antara pihak berkuasa tempatan serta pihak kerajaan kita dengan kerajaan negara jiran perlu ditingkatkan agar masalah rasuah dalam kalangan pihak berkuasa tidak berlaku. Hal ini perlu dibanteras agar tidak memburukkan keadaan lagi. Jika masalah tersebut dapat ditangani, sudah tentu hal ini tidak akan menjejaskan hubungan diplomatik antara negara yang sudah sekian lama terjalin.

No comments:

Post a Comment